Henti jual daging haiwan eksotik atau berdepan tindakan - Sultan Johor
Bernama
Ogos 10, 2020 05:24 MYT
Ogos 10, 2020 05:24 MYT
Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar memberi amaran kepada pemilik restoran di negeri itu yang menjual daging haiwan eksotik agar segera menghentikan perbuatan tersebut.
Menerusi hantaran di laman Facebook Sultan Ibrahim, baginda bertitah sekiranya ada yang masih ingkar dan terus menjual daging haiwan eksotik, mereka bakal berdepan tindakan tegas pihak berkuasa.
"Anda akan berdepan dengan tindakan jika ditangkap," titah Sultan Johor kepada Royal Press Office (RPO) pada Isnin seperti yang dimuat naik dalam hantaran Facebook berkenaan.
Amaran Sultan Johor itu adalah susulan penahanan beberapa suspek oleh polis selepas disyaki terlibat dalam aktiviti pemburuan haram berskala besar seperti didedahkan baginda semalam.
Pada Ahad, Sultan Johor bertitah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) serta polis menjalankan siasatan berhubung kegiatan pemburuan haram itu serta pemburu haram terbabit juga disyaki menjual daging haiwan eksotik kepada restoran.
"Pengedaran daging haiwan eksotik ini perlu dihentikan segera. Saya memberi amaran terakhir kepada pemilik restoran yang berbuat demikian.
"Dengan segera hentikan penjualan daging haiwan eksotik ini, jika tidak, anda akan berdepan dengan tindakan jika ditahan," titah baginda.
-- BERNAMA