Henti bungkus nasi guna paku, dawai kokot - Dr Noor Hisham

Eton Khir
Januari 4, 2022 06:42 MYT
Kementerian Kesihatan Malaysia mengambil maklum isu penggunaan paku bagi membungkus makanan yang tular di media sosial baru-baru ini. Gambar Twitter
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menasihatkan peniaga agar tidak menggunakan paku, dawai kokot dan bahan berbahaya seumpamanya pada pembungkusan makanan jualan mereka.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, ini adalah kerana bahan-bahan tersebut boleh mendatangkan kecederaan serius kepada pengguna sekiranya tertelan atau termasuk dalam makanan.
Dalam masa sama, Dr Noor Hisham menegaskan, peniaga yang menggunakan barangan berbahaya pada pembungkusan makanan boleh didakwa di mahkamah dan dijatuhkan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekiranya didapati bersalah.
“KKM mengambil maklum mengenai isu penggunaan paku bagi membungkus makanan yang tular di media sosial baru-baru ini dan pandangan pelbagai pihak yang khuatir akan bahaya trend kaedah pembungkusan makanan yang tidak selamat ini,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa.
Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, hukuman yang lebih berat boleh dikenakan sekiranya bahan tersebut ditemui dalam makanan.
Kata beliau, berdasarkan Seksyen 13, Akta Makanan 1983 menjelaskan, sesiapa yang menyedia atau menjual apa-apa makanan di dalamnya mengandungi bahan yang memudaratkan kesihatan, boleh dijatuhi hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya jika bersalah.
“Orang ramai terutama ibu bapa dinasihatkan untuk memeriksa terlebih dahulu makanan yang diberikan kepada anak-anak sebelum dimakan,” ujar Dr Noor Hisham lagi.
Jelas beliau, penyedia dan peniaga makanan juga diingatkan bahawa terdapat pelbagai kaedah lain yang lebih selamat dan sesuai untuk membungkus makanan dengan baik.

Kenyataan Akhbar KPK 4 Januari 2022 Isu Penggunaan Paku Bagi Membungkus Makanan https://t.co/5mCc2lzaaj

— Noor Hisham Abdullah (@DGHisham) January 4, 2022
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
#Dr Noor Hisham Abdullah #KKM #peniaga #paku bungkus makanan