Henti beri makan ikan di Sia Boey - ADUN Komtar

Bernama
Disember 7, 2020 06:31 MYT
Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) telah membelanjakan sejumlah RM18,500 untuk membersihkan terusan dan memulihkan ekosistem. Foto Bernama
GEORGE TOWN: Orang ramai yang mengunjungi Taman Bandar Arkeologi Sia Boey di sini digesa agar tidak memberi makan ikan kerana dikhuatiri akan mengganggu ekosistem dan pembiakan ikan di Terusan Prangin di taman itu.
Anggota Dewan Undangan (ADUN) Komtar Teh Lai Heng pada Isnin berkata populariti Taman Bandar Sia Boey sebagai taman awam dan taman arkeologi dalam bandar, telah menarik kunjungan orang ramai sekali gus mereka cenderung memberi makan ikan-ikan di situ.
Katanya, terdapat juga sesetengah pihak yang bertindak melepaskan spesies ikan lain seperti ikan patin dan ikan keli ke Terusan Prangin dan amalan ini akan mengganggu ekosistem ikan koi dan ikan tilapia yang asalnya dibiakkan di dalam terusan berkenaan.
"Tindakan ini akan mengubah kesimbangan ekosistem di dalam terusan berkenaan akibat daripada pembiakan dan pertambahan populasi ikan dengan cepat sekali gus membentuk lapisan lumpur yang tebal selain menggalak proses perkumuhan dan pembentukan alga," katanya kepada pemberita di sini.
Katanya, Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) telah membelanjakan sejumlah RM18,500 untuk membersihkan terusan dan memulihkan ekosistem.
Katanya, kerja-kerja pembersihan yang dilakukan antara 27 Okt dan 19 Nov lepas melibatkan pembuangan secara manual kotoran dan enapan ikan, servis pam penapisan, pembersihan paip dan ruang penapis bio serta usaha memindahkan ikan-ikan.
"Kira-kira 1,400 ekor ikan Tilapia, 250 ikan koi, lapan ekor ikan patin, empat ekor ikan keli dan dua ekor kura-kura dikeluarkan (selama proses pembersihan)," tambahnya.
Pada Isnin, sebanyak 120 ekor ikan koi dilepaskan semula ke Terusan Prangin di Taman Arkeologi Bandar Sia Boey.
Pengarah Urusan Prestige Pools Construction Sdn Bhd Richard Yee, yang bertanggungjawab untuk proses pemindahan ikan berkenaan berkata, sejumlah 200 ekor ikan koi dan dua ekor kura-kura akan dilepaskan ke dalam terusan berkenaan.
"Ikan yang selebihnya, akan dipindahkan ke tempat lain agar tidak mengganggu ekosistem di sini," tambahnya.
-- BERNAMA
#Taman Bandar Arkeologi Sia Boey #Makan ikan #ekosistem #pembiakan #ikan #Terusan Prangin #Teh Lai Heng
;