Henry Sum boleh bantu ketengah isu kepenggunaan Sarawak, Sabah - FOMCA

Bernama
Jun 28, 2016 08:58 MYT
Pelantikan Datuk Henry Sum Agong (gambar) dijangka akan membantu kementerian itu menangani isu-isu kepenggunaan berbangkit terutama di kalangan pengguna di Sarawak dan Sabah. - Gambar fail
Pelantikan Anggota Parlimen Lawas Datuk Henry Sum Agong sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan membantu kementerian itu menangani isu-isu kepenggunaan berbangkit terutama di kalangan pengguna di Sarawak dan Sabah.
Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) Mohd Yusof Abdul Rahman berkata banyak isu kepenggunaan termasuk melibatkan pengguna di dua negeri itu yang memerlukan perhatian.
"Sebagai anggota Parlimen dari Sarawak, beliau pastinya lebih faham kehendak dan keperluan rakyat tempatan di Sarawak dan Sabah khasnya dalam hal kepenggunaan.
"Walaupun KPDNKK ada pegawai di setiap negeri, isu-isu yang berkaitan pengguna perlu dibangitkan untuk perhatian di peringkat lebih tinggi dalam kerajaan," katanya kepada Bernama.
Dalam rombakan dan penyusunan semula Kabinet yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Putrajaya semalam, Henry Sum merupakan antara tiga timbalan menteri baharu dalam barisan pentadbiran Najib.
Dua lagi ialah Anggota Parlimen Jerlun Datuk Othman Aziz sebagai Timbalan Menteri Kewangan dan Anggota Parlimen Silam Datuk Nasrun Datu Mansur sebagai Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi.
Henry Sum menggantikan Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah yang memegang jawatan Timbalan Menteri KPDNKK sebelum ini.
Jawatan itu kosong sejak Ahmad Bashah menjadi Menteri Besar Kedah, menggantikan Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir pada 4 Feb lalu.
#Henry Sum Agong #KPDNKK #Lawas #Mohd Yusof Abdul Rahman
;