Hempuk kepala abang ipar dengan periuk, penganggur dipenjara 5 bulan
Bernama
Ogos 13, 2021 22:35 MYT
Ogos 13, 2021 22:35 MYT
KUALA LUMPUR: Mahkamah Majistret Selayang hari ini menjatuhkan hukuman penjara lima bulan ke atas seorang lelaki yang bertindak menghempuk kepala abang iparnya, seorang warga emas, dengan periuk sehingga menyebabkan kecederaan.
Majistret Nur Hafizah Rajuni menjatuhkan hukuman itu selepas Azmi Shahadan, 56, mengaku melakukan perbuatan itu terhadap Isnin Kulop, 72, di rumah mereka di Kampung Laksamana, Batu Caves dekat sini pada 11 pagi 6 Julai lepas.
Tertuduh, yang masih bujang, didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun atau dengan denda atau dengan sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.
Mahkamah memerintahkan Azmi menjalani hukuman itu mulai tarikh dia ditangkap iaitu pada 16 Julai lepas.
Mengikut fakta kes, pada hari kejadian berlaku pertengkaran mulut antara Azmi dan Isnin yang berkesudahan dengan tertuduh bertindak mengambil sebiji periuk serta memukul kepala abang iparnya itu berkali-kali sehingga berdarah.
Keluarga mangsa kemudian meleraikan pergaduhan itu dan menghubungi polis. Pihak polis yang tiba di lokasi kejadian terus membawa Azmi ke Hospital Selayang selepas tertuduh mendakwa dia mengalami masalah mental sejak 15 tahun lepas.
Terdahulu, peguam M. Marippan dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), merayu hukuman ringan atas alasan tertuduh tidak bekerja, masih bujang dan tinggal bersama-sama mangsa selain mendakwa dia juga mengalami masalah mental.
Timbalan Pendakwa Raya Khairunnisak Hassni memohon hukuman setimpal kerana mangsa mengalami kecederaan di kepala dan tindakan tertuduh yang menggunakan periuk sebagai alat untuk mencederakan mangsa.
"Tertuduh telah dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta pada 16 Julai lepas untuk mendapatkan pemerhatian di bawah Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah dan laporan perubatan forensik psikiatri mengesahkan dia waras serta sedar akan sifat dan akibat perbuatannya pada hari kejadian," katanya.
-- BERNAMA
#hempuk kepala
#mahkamah majistret selayang
#warga emas
#Azmi Shahadan
#Isnin Kulop
#Kampung Laksamana
#Batu Caves