Hello Kedah platform dekatkan Astro dengan masyarakat setempat

Abd Hadi Che Awang
Julai 6, 2024 09:00 MYT
Pengunjung juga tidak melepaskan peluang 'terlibat sama' dalam beberapa aktiviti yang memfokuskan kepada pelbagai lapisan usia. - Astro AWANI
ALOR SETAR: Bukan sahaja menjadi platform dalam membawa pengalaman baharu untuk Astro lebih dekat kepada pelanggan malah Jelajah Hello Kedah yang diadakan di Stadium Sultan Abdul Halim, Alor Setar mampu menjadi ruang terbaik untuk komuniti sekitar bertemu artis kegemaran masing-masing.
Pengunjung juga tidak melepaskan peluang 'terlibat sama' dalam beberapa aktiviti anjuran Astro yang memfokuskan kepada pelbagai lapisan usia.
Menurut salah seorang pengunjung yang ditemui, Mohd Nor Safarin Mansor, 53 tahun, penganjuran semula program Kilauan Emas bagi tahun ini selepas menyepi hampir 7 tahun turut disambut baik pelanggan Astro yang bukan sahaja dari negeri Kedah, malah beberapa negeri utara yang lain seperti Perlis, Pulau Pinang dan Perak.
"Sambutan bagus sebab ini bukan kali pertama abang datang program Astro macam ini, program macam ini kita boleh berinteraksi dengan khalayak, dan untuk ketahui untuk apa yang kami nak, contohnya Kilauan Emas, bertahun tidak ada sekarang datang balik, walaupun hujung tanjung kata orang ramai yang datang," katanya yang merupakan seorang peniaga dari Perak.
Sementara itu, bagi pelakon, Mierul Aiman atau nama sebenar Mohammad Amirul Aiman Norazman, 26 tahun, menyatakan Jelajah Hello Kedah dilihat sebagai medan terbaik untuk mengeratkan hubungan antara artis dan peminat selain mengembangkan bidang industri kreatif di dalam negara.
"Bagi saya, untuk aktiviti seperti ini sangat penting supaya kita dapat yakinkan penonton di Malaysia kita ada bersama mereka, kita bukan sahaja serve based on skill on camera tetapi bagi saya merapatkan ukhuwah dan menjadikan hubungan kita dengan penonton dan penyokong Astro sebagai satu keluarga dan memanjangkan kita punya industri kreatif," jelasnya.
Selain itu, ianya juga mampu menjadi ruang terbaik buat rakan kerjasama Astro termasuk Yaya Empire memperkenalkan produk jualan kepada komuniti terutamanya dalam kalangan penduduk di negeri Jelapang Padi.
"Ini adalah tahun ke-6 kita kerjasama, Astro dan Yaya Empire sangat close, ada bonding sebab melalui platform arus perdana ini kita boleh memperkenalkan Yaya Perfume kepada lokaliti setempat," tambah beliau.
#Hello Kedah #Astro #stadium sultan abdul halim #pelanggan
;