Helikopter terhempas di Subang, dua cedera
Astro Awani
Mac 24, 2021 11:22 MYT
Mac 24, 2021 11:22 MYT
SUBANG JAYA: Seorang juruterbang dan pembantunya cedera manakala tiga penumpang terselamat apabila helikopter yang dinaiki mereka terhempas di kawasan kargo Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, pagi ini.
Juruterbang dan pembantu yang berusia 53 hingga 55 tahun itu mengalami patah kaki.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor (JBPM), Norazam Khamis berkata sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Anggerik dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada jam 9.26 pagi.
"Sampai di lokasi didapati sebuah helikopter jenis Airbus H125 telah terhempas.
"Terdapat lima mangsa warga tempatan dan dilaporkan mengalami kecederaan, namun kesemua mereka berada dalam keadaan stabil," katanya pada Rabu.
Mengulas lanjut, Norazam berkata pemeriksaan awal mendapati seorang lelaki mengalami patah kaki kanan dan cedera di kepala dan seorang lagi mengalami kecederaan ringan di kaki.
Bagaimanapun, katanya, tiga lagi mangsa tidak mengalami kecederaan.
#helikopter terhempas
#lapangan terbang Subang
#dua penumpang cedera
#Balai Bomba dan Penyelamat Kota Anggerik
#Airbus H125
#Norazam Khamis