Helikopter terhempas Cameron Highlands: Semua mangsa berjaya dibawa turun, dihantar ke hospital
Ridauddin Daud
Oktober 26, 2022 21:20 MYT
Oktober 26, 2022 21:20 MYT
CAMERON HIGHLANDS: Semua enam mangsa helikopter terhempas di Hutan Simpan Bukit Kinta dekat Cameron Highlands hari ini, selamat dikeluarkan dari lokasi nahas secara berperingkat sehingga jam 9 malam tadi.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) berjaya mengenal pasti lokasi nahas tidak lama selepas kejadian jam 1.15 tengah hari itu berlaku.
"Pasuka SAR kemudian memulakan operasi dan berjaya menemui semua mangsa dalam keadaan selamat jam 4 petang dengan beberapa orang mengalami kecederaan.
"Mereka kemudian dibawa turun dengan tiga mangsa pertama tiba di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) jam 5 petang. Mereka kemudian disusuli seorang lagi mangsa tidak lama kemudian.
"Dua lagi mangsa tiba di PKTK pada jam 8.35 malam sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Hajjah Kalsom Cameron Highlands pada jam 9 malam," katanya dalam sidang media di sini, malam ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, tiada mangsa yang tersepit dalam kejadian itu, bagaimanapun beberapa orang tidak boleh berjalan menyebabkan pergerakan membawa mereka keluar menjadi perlahan.
Beliau berkata, semua mangsa dikenal pasti sebagai Kapten Fedzrol Norazam, 43; Dr Munirah, 35; Norasyikin, 38; Hashilawati, 48; Muhamad Azlan, 31; dan Zainurol Fazlan, 40.
Dalam pada itu, Mohd Yusri memaklumkan keadaan cuaca agak buruk ketika insiden itu berlaku dengan kabus tebal dan angin kuat.
Katanya, seramai 127 anggota daripada pelbagai agensi menyertai operasi SAR itu.
Sementara itu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, dalam kenyataan malam ini berkata, helikopter itu membawa Pasukan Doktor Udara (PDU) Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kinta, Perak.
Katanya, mereka dalam perjalanan pulang ke Ipoh setelah selesai membuat lawatan berkala ke perkampungan Orang Asli di Gua Musang, Kelantan.