Helikopter terhempas bawa Pasukan Doktor Udara rawat Orang Asli - Khairy

Astro Awani
Oktober 26, 2022 22:36 MYT
Semua mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Hajjah Kalsom Cameron Highlands. - Gambar/ Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Helikopter yang terhempas di kawasan hutan di Brinchang, Cameron Highlands hari ini, membawa Pasukan Doktor Udara (PDU) Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kinta, Perak.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata pasukan berkenaan dalam perjalanan pulang ke Ipoh setelah selesai membuat lawatan berkala ke perkampungan Orang Asli di Gua Musang, Kelantan.
"Jumlah mangsa terlibat adalah enam orang yang terdiri daripada pegawai perubatan, penolong pegawai perubatan, jururawat kesihatan, pembantu kesihatan awam, jururawat masyarakat dan seorang juruterbang.
"Semua mangsa selamat. Punca helikopter membuat pendaratan kecemasan masih dalam siasatan. Perkembangan terkini kejadian akan dimaklumkan dari semasa ke semasa," katanya dalam satu kenyataan malam ini.
Tragedi | Helikopter terhempas di Cameron Highlands
Dalam kejadian kira-kira jam 1.15 tengah hari itu, helikopter berkenaan dipercayai terhempas ketika cuba melakukan pendaratan cemas di kawasan hutan berhampiran Brinchang.
Akibat nahas itu, lima mangsa cedera ringan manakala seorang patah paha.
Semua enam mangsa termasuk juruterbang bagaimanapun terselamat dan berjaya dibawa keluar oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) dari lokasi nahas secara berperingkat bermula jam 5.30 petang hingga jam 9.07 malam.
Semua mereka kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Hajjah Kalsom Cameron Highlands.
#helikopter terhempas #Cameron Highlands #pasukan doktor udara #Orang Asli
;