Helikopter swasta dikhuatiri hilang di hutan sekitar Bidor

Abd Razak Mohd Ali
September 11, 2022 16:05 MYT
Wee Ka Siong berkata, helikopter jenis Eurocopter itu dilaporkan terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) kira-kira jam 12.16 tengah hari. - Astro AWANI
IPOH: Sebuah helikopter swasta dikhuatiri hilang di kawasan hutan di sekitar kawasan Bidor, dekat sini, tengah hari ini.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, helikopter jenis Eurocopter itu dilaporkan terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) kira-kira jam 12.16 tengah hari.
Menurutnya, helikopter tersebut berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz, Subang pada 11.37 pagi dan dijadualkan sampai di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah di sini, jam 12.37 tengah hari.
Katanya, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (CAAM) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Bidor telah mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR).
“Kita akan lakukan apa juga usaha dalam mendapatkan helikopter yang dikatakan telah hilang hubungan dengan KLATCC,” katanya kepada pemberita ketika melawat Stesen Keretapi Ipoh hari ini.
Menurutnya, berdasarkan maklumat awal, terdapat seorang juruterbang di dalam helikopter berkenaan.
Bagaimanapun, kata beliau, pihak CAAM akan mengeluarkan kenyataan lanjut mengenai kejadian tersebut.
BERITA LANJUT MENYUSUL
#helikopter hilang #Bidor #Wee Ka Siong #Eurocopter
;