Helikopter mendarat cemas di tengah laut, 8 nyaris maut

Aizat Sharif
Disember 12, 2013 14:37 MYT
Gambar Fail
Enam pekerja syarikat petroleum dan dua juruterbang nyaris maut apabila helikopter yang dinaiki mereka terpaksa membuat pendaratan cemas di tengah laut.
Kejadian berlaku pada jam 7.42 pagi, kira-kira 92 batu nautika dari pesisir pantai Bintulu dan ianya disebabkan oleh faktor cuaca buruk.
Difahamkan ketika itu, helikopter pengangkut jenis Sikorsky S-76 itu yang disewa oleh sebuah syarikat petroleum itu sedang dalam perjalanan untuk membuat tinjauan lokasi penggalian minyak dan gas dikawasan perairan tersebut.
Ketua Polis Daerah Bintulu, Supt Madang Usat berkata ketika kejadian helikopter tersebut membawa penumpang dari negara Perancis, Finland, Denmark Norway dan Kanada dan mangsa-mangsa menyelamatkan diri dengan keluar dari helikopter tersebut setelah melakukan pendaratan cemas.
“Mangsa-mangsa kemudiannya diselamatkan oleh sebuah kapal yang melalui kawasan tersebut dan terus dibawa ke daratan sebelum dihantar ke hospital untuk menerima rawatan lanjut,” kata Madang.
Kesemua anak kapal dan penumpang yang terlibat dilaporkan tidak mengalami kecederaan yang serius dan masih lagi dirawat di Hospital Columbia, Miri.
Kes kini diserahkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) untuk siasatan lanjut.
#Bintulu #helikopter #pendaratan cemas #terselamat
;