Helikopter malang guna laluan selamat - Liow
Bernama
Mei 6, 2016 02:06 MYT
Mei 6, 2016 02:06 MYT
Laluan yang digunakan pesawat malang Eurocopter AS350, yang terhempas berhampiran Sungai Batang Lupar di Sebuyau semalam, kira-kira 250km dari sini, adalah laluan normal dan selamat untuk helikopter,
kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.
Beliau berkata tempat itu tidak diisytiharkan 'Zon Larangan Terbang' kerana kawasan itu adalah rata dengan banyak helikopter menggunakan laluan itu pada masa yang sama ketika kejadian malang itu.
"Kami dimaklumkan pada waktu itu cuaca tidak begitu baik dicatatkan tetapi bukan cuaca buruk kerana pada ketika itu banyak helikopter melalui kawasan itu," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pangkalan Tentera Udara Kuching di sini, malam tadi.
Beliau berkata waktu dahulu, status 'Zon Larangan Terbang' memang dikuatkuasakan di kawasan berbukit dan berbahaya di pedalaman Sarawak tetapi teknologi penerbangan telah membolehkan status itu diubah.
"Tetapi memandangkan teknologi sekarang dan maklumat kita dapat, kita boleh memaklumkan kepada juruterbang mengenai risiko pada laluan tertentu. Jadi juruterbang mempunyai peluang memahami sesuatu laluan bagi membuat pertimbangan sewajarnya terutama mengenai keadaan cuaca," katanya.
Liow berkata pasukan penyiasat akan mencari punca kemalangan itu. Menurutnya, dua pusat operasi dibuka di kementerian itu di Putrajaya dan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching bagi membolehkan waris mangsa mendapatkan maklumat dari masa ke semasa mengenai perkembangan operasi mencari dan menyelamat (SAR).
Pusat operasi itu boleh dihubungi melalui talian 03-88921488 atau 03-88921489 (Putrajaya) dan 082-451702 (Kuching).
Dalam kejadian itu, timbalan menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon terbunuh manakala lima lagi mangsa belum ditemukan oleh pasukan SAR.
Lima mangsa tersebut ialah suami Noriah, Asmuni Abdullah, ketua setiausaha kementerian itu, Datuk Dr Sundaran Annamalai, Ahli Parlimen Kula Kangsar, Datuk Wan Muhammad Khair-il Anuar Wan Ahmad, pengawal peribadi Noriah, Ahmad Sobri Harun dan juruterbang warga Filipina, Rudolf Rex Ragas.
Helikopter itu berlepas dari Betong ke Kuching pada pukul 4.12 petang semalam dan terputus hubungan dengan menara kawalan tiga minit kemudian.