Helikopter, jet ski bantu operasi cari warga Mesir hilang di Langkawi

Bernama
September 21, 2016 16:32 MYT
Operasi SAR turut melibatkan sebuah bot maritim (APMM) dan sebuah bot polis marin. -Gambar fail
Sebuah helikopter dan sebuah jet ski milik Jabatan Bomba dan Penyelamat hari ini menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang warga Mesir yang masih belum dijumpai selepas terjatuh dari balkoni bilik sebuah hotel di sini Isnin lepas.
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dalam kenyataan berkata pencarian dari udara akan melibatkan kawasan lingkungan tiga batu nautika (10km) di sekitar lokasi kejadian.
Selain itu, sepasukan penyelam dari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) juga menyertai operasi SAR yang diaktifkan pukul 7.30 pagi tadi.
"Operasi SAR turut melibatkan sebuah bot maritim (APMM) dan sebuah bot polis marin. Penyelam TLDM turut memberi bantuan mencari mangsa," kata kenyataan itu di sini hari ini.
Yahya Yousry Mohamad Al-Sayid, 27, dilaporkan hilang kira-kira pukul 4 petang Isnin lalu selepas dipercayai terjatuh ke laut dari balkoni bilik sebuah hotel yang dihuninya di sini.
Usaha pencarian semalam terpaksa dihadkan kepada kawasan pesisiran pantai berikutan keadaan angin kuat yang kadangkala mencapai 50km sejam dan ombak sehingga 3.5 meter yang menyukarkan pergerakan bot.
Sementara itu, Berjaya Hotels & Resorts dalam satu kenyataan berkata Yahya Yousry tiba di hotel itu pada hari Isnin lepas bersama-sama isterinya untuk percutian dan sepatutnya mendaftar keluar semalam.
Berdasarkan maklumat daripada isterinya, kenyataan itu menyebut mangsa berada di chalet inapannya, secara tiba-tiba terjatuh ke laut dan dipercayai ditarik arus deras dalam kejadian itu.
Pihak hotel itu telah menggerakkan beberapa jet ski miliknya untuk mencari mangsa serta-merta sebelum ketibaan pasukan mencari dan menyelamat pada hari itu namun gagal mengesannya.
Mereka turut memberikan kerjasama kepada pasukan penyelamat untuk memudahkan usaha-usaha pencarian itu selain menyediakan penginapan dan makan minum isteri mangsa sepanjang operasi itu dijalankan. -Bernama
#APMM #Jabatan Bomba dan Penyelamat #SAR #TLDM #Yahya Yousry Mohamad Al-Sayid
;