Helikopter hilang: Tiada pengesahan helikopter mendarat di mana-mana - Polis

Hafiz Marzukhi
Mei 5, 2016 23:54 MYT
Menurut ppolis, helikopter tersebut terputus hubungan ketika berada di kawasan Triso di Sri Aman. - Foto Astro AWANI
Tiada pengesahan bahawa helikopter yang membawa lima orang penumpang, salah seorangnya dipercayai merupakan ahli kabinet, sudah mendarat di mana-mana.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Seri Muhd Sabtu Osman berkata buat masa ini, tiada butiran terperinci yang boleh dikongsikan.
"Kami akan gerakkan aset-aset mencari dan menyelamat kami bermula jam 6 pagi esok," kata Sabtu.
Tambahnya, pihak polis berganding bahu dengan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) bagi usaha mencari dan menyelamat tersebut.
LAPOR LANGSUNG: Helikopter dipercayai bawa orang kenamaan hilang di Sarawak
BACA: 'Kerajaan tubuh pasukan bertindak' - Ahmad Zahid
BACA: Tentera Darat, Udara dikerah dalam operasi SAR helikopter hilang - Hishammuddin
Helikopter tersebut berlepas dari Betong pada jam 4.12 petang pada Rabu sebelum terputus hubungan pada jam 4.32 petang.
Helikopter tersebut terputus hubungan ketika berada di kawasan Triso di Sri Aman.
Perjalanan melalui udara dari Betong ke Kuching biasanya akan memakan masa selama 35 minit.
Sebelum ini, Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.
Susulan itu, DCA telah melancarkan operasi mencari dan menyelamat.
Pesawat jenis Eurocopter AS350 itu dikendalikan oleh sebuah syarikat helikopter tempatan.
#Betong #helikopter hilang #Kuching
;