Helikopter dapat kebenaran rentas negeri untuk diselenggara, bukan beli 'nasi ganja'

Bernama
Julai 27, 2021 12:27 MYT
Isu berkenaan tular dalam media sosial apabila sebuah helikopter mendarat di Padang Ipoh dipercayai untuk mengambil pesanan 36 bungkus nasi ganja yang ditempah pelanggan dari ibu negara. - Gambar fail
IPOH: Helikopter yang mendarat di Padang Ipoh di sini pada Jumaat lepas hanya memperoleh kebenaran rentas negeri bagi tujuan penyelenggaraan pesawat itu dan bukannya membawa tempahan nasi ganja.
Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata pihaknya telah merakam kenyataan ketua balai polis yang memberi kebenaran dan semua individu yang terlibat, termasuk pengadu, pemilik premis makanan dan pemilik syarikat helikopter jenis Bell 505 Global Ranger itu.
"Pihak polis masih meneruskan siasatan dan hasil siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya dalam masa terdekat," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Ambil 36 bungkus 'nasi ganja' dengan helikopter
Beliau berkata kes disiasat di bawah Peraturan 16 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit dan orang ramai diminta tidak membuat spekulasi kerana boleh mengganggu proses siasatan.
Semalam, polis Perak dilaporkan mengambil keterangan beberapa individu termasuk seorang lelaki bergelar Datuk berusia 52 tahun, bagi membantu siasatan insiden berkenaan di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, Selangor.
Isu 'Nasi Ganja'™ | 'Datuk' antara 3 individu yang diambil keterangan
Isu berkenaan tular dalam media sosial apabila sebuah helikopter mendarat di Padang Ipoh dipercayai untuk mengambil pesanan 36 bungkus nasi ganja yang ditempah pelanggan dari ibu negara di sebuah kedai menjual nasi kandar terkemuka di bandar raya ini.
Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dalam kenyataan pada Sabtu lepas memaklumkan helikopter Bell 505, dikendalikan oleh Systematic Aviation Services Sdn. Bhd. (SAS) itu, berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang ke Ipoh pada 9.08 pagi sebelum kembali ke Subang pada 11:02 pagi, seperti difailkan dalam pelan penerbangan.
-- BERNAMA
#helikopter #nasi ganja #Padang Ipoh #diselenggara #Ketua Polis Perak #Mior Faridalathrash Wahid
;