Helaian janggut antara barang dirampas dalam serbuan di rumah pengurusan tertinggi GISB

Bernama
September 23, 2024 23:51 MYT
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata turut dirampas 455 risalah dan logo berkaitan yang kemudian diserah kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk tindakan lanjut. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Helaian janggut yang disimpan di dalam bekas khas adalah antara barang yang dirampas oleh Polis Diraja Malaysia dalam serbuan Op Global fasa empat di sebuah rumah milik pengurusan tertinggi Global Ikhwan Services and Business (GISB) Holdings Sdn Bhd di Rawang, Sabtu lepas.
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata turut dirampas 455 risalah dan logo berkaitan yang kemudian diserah kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk tindakan lanjut.
"Helaian janggut, buku dan risalah ini didapati bertentangan dengan ajaran Islam dan dipercayai mempunyai kaitan dengan tarekat Aurad Muhammadiyah dan kumpulan Al-Arqam yang telah difatwakan haram pada 1994," katanya dalam sidang media di Pusat Latihan Polis di sini hari ini.
Beliau juga berkata pihaknya telah membuka kertas siasatan berhubung ugutan terhadap Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menerusi aplikasi WhatsApp berkait isu organisasi itu.
Razarudin berkata Mohd Asri dilaporkan menerima mesej daripada nombor tidak dikenali pada 8.56 pagi semalam menyatakan perniagaan milik GISB tidak dapat ditandingi di negara ini namun perkara itu tidak dilayan menyebabkan pengirim menghantar mesej berbentuk provokasi dan ugutan termasuk perkataan kafir harbi.
"Mohd Asri percaya pesanan WhatApps yang diterima menjurus kepada ugutan jenayah kerana maksud kafir harbi (kafir yang boleh diperangi) adalah menghalalkan darah.
"Susulan itu, mufti berkenaan tampil membuat laporan di Balai Polis Kangar pada Sabtu lepas untuk tindakan selanjutnya," kata beliau.
Razarudin berkata kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan usaha mengesan suspek sedang dijalankan.
Sejak Op Global fasa pertama pada awal September lepas, lebih 300 individu termasuk pengurusan tertinggi GISB ditahan, 572 mangsa diselamatkan manakala tujuh dihadapkan ke mahkamah atas 29 pertuduhan.
-- BERNAMA
#GISB #Op Global #helaian janggut #Ketua Polis Negara Razarudin Husain
;