Helah mengaku adik-beradik, elak dicekup khalwat
Sinar Harian
Januari 24, 2023 17:50 MYT
Januari 24, 2023 17:50 MYT
MELAKA: Seorang lelaki sanggup berbohong dan mengakui teman wanitanya merupakan adik kandung ketika diperiksa penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) di sebuah hotel bajet, di sini pada Ahad.
Ketika pemeriksaan jam 3.30 pagi, lelaki berusia 20-an itu bersama seorang perempuan berada dalam sebuah bilik hotel.
Pengarah JAIM, Datuk Che Sukri Che Mat berkata, pihaknya terpaksa menunggu kira-kira 10 minit sebelum pintu bilik tersebut dibuka individu terbabit.
Menurutnya, selepas diminta menjelaskan situasi berdua-duaan dengan seorang gadis, pemuda itu berkali-kali mendakwa remaja perempuan itu adalah adiknya.
"Tanpa sebarang bukti dan dokumen, mereka akhirnya membuktikan bukan adik-beradik.
"Mereka juga mengaku bermalam di situ untuk berehat," katanya ketika dihubungi pada Selasa.
Jelas beliau, pasangan muda itu antara 10 pasangan kekasih yang ditahan dalam Operasi Cegah Jenayah Syariah sempena Tahun Baharu Cina di kawasan Simpang Ampat dan Rumbia, Alor Gajah.
Tambah beliau, kesemua yang ditahan berusia 19 hingga 56 dan telah dibawa ke pejabat JAIM untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 kerana bersekediaman.
Ujar beliau, sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM3,000 atau 24 bulan penjara atau kedua-duanya sekali.
"Penahanan ini juga hasil kerjasama daripada orang awam dan ahli Rakan Setiaku JAIM yang menyalurkan maklumat dan membantu kami mengekang aktiviti tidak bermoral di Melaka," katanya. -- Sinar Harian