Helah kononnya bawa bantuan makanan, sebaliknya 2 tan daun ketum

Adie Sufian Zulkefli
Julai 11, 2021 16:52 MYT
Suspek dikatakan mengisi daun-daun ketum di dalam kotak-kotak tersebut untuk dihantar ke Sungai Buloh kononnya sebagai bantuan keperluan asas. - Foto Astro AWANI
PENDANG: Helah seorang pemandu lori treler yang membawa lebih dua tan daun ketum yang disusun dalam kotak 'barangan makanan' terbongkar apabila ditahan polis, pada Rabu.
Suspek dikatakan mengisi daun-daun ketum di dalam kotak-kotak tersebut untuk dihantar ke Sungai Buloh kononnya sebagai bantuan keperluan makanan asas.
Menurut polis, lelaki itu ditahan di tepi jalan di Batu Menunggul, Pendang ketika berhenti untuk membeli makanan pada jam 5.30 petang.
Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Arriz Sham Hamezah berkata, berdasarkan maklumat dan risikan yang dilakukan, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang dan Balai Polis Sungai Tiang telah mengekori lori treler berkenaan.
Katanya, sebaik melakukan pemeriksaan anggotanya menemui 102 buah kotak yang mana di dalamnya berisi daun ketum segar.
Jelasnya, suspek berusia 36 tahun itu juga mengaku membawa daun-daun ketum terbabit dengan menerima upah sebanyak RM7,000.
"Kita tengok meningkat sebelum ini upah hanya RM2,000, (tetapi) sekarang ni RM7,000 mungkin disebabkan risiko-risiko yang perlu mereka lalui sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menerusi sekatan jalan raya ,pemeriksaan oleh pihak polis.
"Maka, itulah yang memungkinkan pihak pengedar memberikan upah yang lebih lumayan kepada pemandu lori untuk membawa daun ketum ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang, hari ini.
Arriz Sham berkata, berdasarkan rekod kesalahan, ini merupakan kali kedua suspek itu melakukan kegiatan tersebut di mana kali pertama dia melakukannya tiga minggu lalu.
Siasatan juga mendapati, kegiatan lelaki ini tidak diketahui majikannya kerana lori treler ini diparkir di rumahnya dan lelaki ini bekerja dengan sebuah syarikat barangan yang beralamat di Alor Setar sejak tiga tahun lalu.
Beliau berkata, jumlah keseluruhan daun ketum dirampas adalah bernilai RM65,000 tidak termasuk lori treler yang disita.
Suspek direman selama tujuh hari bermula 8 Julai lalu untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.
#ketum #bantuan keperluan asas #bantuan makanan #helah #Batu Menunggul #Pendang
;