Helah angkat barang pindah rumah gagal, 'Geng Lori' dicekup polis
Adie Sufian Zulkefli
Februari 13, 2020 23:27 MYT
Februari 13, 2020 23:27 MYT
Taktik datang ke kediaman ketika pemilik tiada di rumah, dengan berpura-pura seperti mahu mengangkat barangan perkakasan rumah untuk berpindah, akhirnya digagalkan oleh tindakan jiran yang bijak.
Kegiatan sekumpulan lelaki yang dikenali sebagai 'Geng Lori' menggunakan muslihat itu tidak berjaya apabila mereka dicekup polis sewaktu cuba merompak sebuah rumah di Jalan Sultanah, Alor Setar, Khamis malam.
Kejadian pada jam 7 petang itu disedari jiran yang curiga dengan perlakuan kumpulan itu sebaik ditanya dan mereka memaklumkan tuan rumah ingin berpindah.
Menurut Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin, jiran mangsa mengesyaki sesuatu mencurigakan, lalu terus menghubungi jirannya untuk bertanyakan mengenai kehadiran sebuah lori dan kereta di hadapan rumahnya.
Beliau berkata, bagaimanapun pemilik rumah itu memaklumkan yang dia tidak tahu apa yang berlaku menyebabkan jirannya bertindak menghubungi polis untuk melaporkan perkara itu.
Susulan itu, pada jam 7.40 malam, anggota Unit Kereta Perondan (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar berjaya menahan tujuh lelaki di hadapan rumah berkenaan.
Kesemua mereka gagal melarikan diri dan berjaya ditahan polis.
Jelas Mohd Rozi polis merampas sebuah lori bersama beberapa perabot yang telah berjaya diangkut ke dalam lori.
Katanya, suspek utama kumpulan itu berusia 25 tahun manakala enam lagi berusia 25 hingga 35 tahun.
Hasil saringan air kencing mendapati positif dadah jenis methaphetamine.
Beliau berkata, berdasarkan rekod, suspek utama berniaga pisang goreng dan memiliki dua rekod jenayah termasuk dalam senarai dikehendaki polis.
Beliau berkata, kesemua mereka ditahan untuk membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.