HDC terus usaha kukuhkan kerjasama dengan Jepun bagi inisiatif perdagangan halal
Bernama
Februari 23, 2024 07:20 MYT
Februari 23, 2024 07:20 MYT
KUALA LUMPUR: Halal Development Corporation Berhad (HDC) menganjurkan satu sesi meja bulat bertajuk 'Menghubungkan Ekosistem Halal antara Jepun dan Malaysia' di Osaka, Jepun, dengan matlamat memperkukuh perdagangan, pelaburan, dan menyokong peluang pekerjaan berkualiti dalam industri halal antara kedua-dua negara.
HDC dalam kenyataan semalam berkata sesi yang diadakan sempena lawatan kerja tujuh hari Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ke Jepun itu dihadiri oleh 20 wakil dari syarikat-syarikat terkemuka Jepun.
"Osaka yang terkenal sebagai zon industri kedua terbesar Jepun, muncul sebagai pusat strategik utama bagi usaha kolaboratif ini disebabkan potensinya yang besar kepada pertumbuhan dan pembangunan industri halal.
"Dengan Malaysia dianggap sebagai pemimpin global dalam ekosistem halal, lawatan delegasi ke Osaka menyaksikan usaha gigih bagi memanfaatkan sinergi di antara kedua-dua negara dalam usaha memajukan perdagangan halal, di samping meningkatkan pekerjaan berkualiti dalam industri halal, terutama sebagai persiapan untuk World Expo Osaka 2025," menurut kenyataan itu.
Pengerusi HDC Khairul Azwan Harun dalam kenyataan itu berkata sesi meja bulat itu berfungsi sebagai platform untuk membina hubungan yang bermakna, menyuntik inovasi, dan membawa perdagangan halal ke tahap yang belum pernah tercapai sebelum ini.
"Pemilihan Osaka sebagai asas penting misi, mencerminkan komitmen kami yang teguh untuk membuka potensi besar industri halal. Kami amat berbangga menyaksikan usaha gigih yang dilaksanakan membuahkan hasil, semasa kami melangkah ke arah kolaborasi dan pertumbuhan," katanya.
Pada Khamis, Malaysia dan Jepun menandatangani dua Memorandum Persefahaman (MoU) untuk memperkuat perdagangan halal, pelaburan, dan pekerjaan berkualiti dalam sektor berkenaan di negara matahari terbit itu, yang juga bertujuan meningkatkan hubungan perdagangan dua hala antara kedua-dua negara dalam industri halal.
MoU pertama adalah antara HDC dan AEON Co (M) Berhad, yang bertujuan mempromosikan produk Halal Malaysia di Jepun, manakala MoU kedua adalah antara HDC dan Japan Halal Association (JHA), bertujuan meningkatkan infrastruktur dan pensijilan halal di Jepun.
Majlis menandatangani MoU yang berlangsung di Osaka itu disaksikan oleh Ahmad Zahid, yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Industri Halal Malaysia, dan Khairul Azwan.
-- BERNAMA