HDC akan anjur Persidangan Perniagaan Halal Dunia 2023 di London pada Okt depan
Bernama
September 18, 2023 05:30 MYT
September 18, 2023 05:30 MYT
KUALA LUMPUR: Halal Development Corporation Bhd (HDC) akan menganjurkan Persidangan Perniagaan Halal Dunia (WHBC) tahunan ke-15 di London, United Kingdom (UK) pada 27-28 Okt depan.
Persidangan itu dijadual dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, yang akan diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Luar Negeri Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Hairol Ariffein Sahari berkata selepas 13 tahun menganjurkan persidangan itu di dalam negara, HDC memutuskan untuk membawa jenama tersebut ke luar Malaysia selepas berjaya menganjurkannya di Melbourne, Australia tahun lepas yang disertai lebih 300 peserta dari 40 negara.
Pada acara itu, kerajaan negeri Selangor mengumumkan kerjasama strategik dengan Kerajaan Negeri Victoria, Australia, mengenai peluang pelaburan di Zon Ekonomi Halal Selangor, dengan nilai ekonomi lebih RM10 bilion.
Acara ini juga menghasilkan lebih daripada 30 padanan perniagaan, melibatkan lebih daripada 30 syarikat dari Malaysia dan Australia.
"WHBC ialah platform yang baik di mana penggubal dasar, pemimpin, pakar dan penyelidik dari seluruh dunia datang dan bercakap tentang halal, supaya kita boleh mempunyai hubungan yang lebih teguh dan mampan sambil menyokong rantaian bekalan halal," katanya dalam satu temu bual bersama Bernama.
WHBC ke-15 yang bertemakan 'Peluang Halal Dalam Dunia Tanpa Sempadan' juga akan akan disertai ketua kerajaan, ahli akademik dan ketua industri yang akan berbincang, berkongsi pengetahuan dan memudahkan pertumbuhan ekonomi halal global.
Bagi tahun ini, HDC akan membawa kira-kira 40 pengeksport dari Malaysia ke UK untuk sesi padanan perniagaan, katanya, sambil menambah acara itu dijangka menarik kira-kira 400 hingga 500 peserta.
Hairol Ariffein berkata HDC telah memperkenalkan beberapa perkhidmatan, termasuk latihan, perundingan dan khidmat nasihat tentang transformasi digital serta penjenamaan dan promosi, sambil menambah WHBC adalah sebahagian daripada aktiviti penjenamaan dan promosinya.
"WHBC ialah persidangan kepimpinan pemikiran yang mana kami menjemput pakar dan juga ahli pemikir dari seluruh dunia untuk bercakap tentang masa depan industri halal.
"Seperti yang kita tahu, industri halal telah berkembang dengan sangat baik sejak 15 tahun lalu, tetapi di manakah kedudukan ia dari segi pembangunan ekonomi?
"Apabila membicarakan tentang industri halal, tumpuan utama adalah kepada aspek keagamaan dan pensijilan, tetapi tiada siapa yang benar-benar bercakap tentang halal dari segi pembangunan ekonomi dan ekosistem secara keseluruhan," katanya.
Sementara itu, beliau berkata, WHBC 2023 akan mengulangi seruan diplomasi halal oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menghubungkan ekosistem halal Malaysia dengan ekosistem lain di dunia.
"Ini adalah inisiatif yang sangat penting untuk kita mengantarabangsakan agenda halal kita, kita mesti mengusahakan lebih banyak kerjasama perniagaan dengan perniagaan dan juga kerjasama kerajaan dengan kerajaan," kata Hairol Ariffein.
Semasa temu bual itu, HDC memperkenalkan salah satu rakan kongsi utamanya bagi WHBC 2023, iaitu syarikat ACO Group yang berpangkalan di Jerman, satu daripada syarikat teknologi air terkemuka di dunia.
Pengarah Urusan ACO Group bagi Asia Tenggara, Adrian Lau berkata syarikat itu bertapak kukuh di 50 negara dan mempunyai kira-kira 40 kilang di 18 negara, sambil menambah kumpulan itu kini menyasar pensijilan halal sebagai cadangan nilai tambah untuk produk dan perkhidmatannya.
"ACO komited untuk membawa teknologi kebersihan terbaik ke dalam ekosistem halal dan halalan thoyyiban.
"Halal adalah satu kewajipan yang perlu dipatuhi, tetapi pendekatan holistik halal adalah di mana thoyyib (aspek yang baik) mesti dipatuhi seperti menitikberatkan kebersihan, keselamatan, kebersihan dan kualiti," katanya.
Lau berkata langkah untuk bekerjasama dengan HDC akan membantu syarikat itu mengembangkan operasinya.
"Kami mahu menjadi sebahagian daripada ekosistem, prasyarat untuk kelulusan pensijilan halal kami.
"Di Malaysia, kami pada masa ini memberi tumpuan kepada pemain besar seperti Nestle, Mondelez, Coca Cola dan beberapa rangkaian hotel juga, dan kami juga ingin bekerjasama dengan HDC di semua taman halal pada masa hadapan," katanya.
-- BERNAMA