HBN 2024: Polis Melaka tawar 50 peratus diskaun saman

Bernama
Mei 22, 2024 05:00 MYT
Zainol berkata, tawaran diskaun saman itu hanya diberikan kepada mereka yang hadir di kaunter trafik yang akan dibuka di dataran berkenaan bermula 8 pagi hingga 5 petang. - Gambar fail/Polis Melaka
MELAKA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menawarkan diskaun saman sebanyak 50 peratus kepada pesalah trafik pada Sabtu dan Ahad ini sempena sambutan Hari Belia Negara (HBN) 2024 Peringkat Kebangsaan yang akan berlangsung di Dataran Pahlawan, di sini.
Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, tawaran diskaun saman itu hanya diberikan kepada mereka yang hadir di kaunter trafik yang akan dibuka di dataran berkenaan bermula 8 pagi hingga 5 petang.
Beliau berkata, ia melibatkan semua jenis saman yang dikeluarkan di seluruh negara kecuali kesalahan melibatkan kemalangan, saman berstatus 'non compoundable', saman Op Selamat, bicara mahkamah, memotong secara bahaya atau memotong barisan, guna lorong kecemasan, langgar lampu isyarat, memotong di garisan berkembar dan ubah suai ekzos.
"Bagi melancarkan urusan serta mengelak beratur panjang, orang ramai dinasihatkan membuat semakan saman melalui portal atau aplikasi MyBayar PDRM terlebih dahulu," katanya.
Menurut Zainol, orang ramai juga dinasihatkan datang sendiri ke kaunter dan tidak menggunakan khidmat pihak ketiga untuk membantu menjelaskan saman bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.
Sambutan HBN 2024 akan berlangsung tiga hari bermula 24 Mei ini di Dataran Pahlawan dan dijadual dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 25 Mei. - BERNAMA
#PDRM #Diskaun Saman #Hari Belia Negara #Polis Melaka
;