Hayati titah Yang di-Pertuan Agong jika mahu lihat Malaysia kembali berjaya - Noor Azlan
Raja Hisyam Raja Zaid
Jun 10, 2022 16:45 MYT
Jun 10, 2022 16:45 MYT
BANGI: Titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda baru-baru ini harus diberi perhatian serius oleh semua pihak.
Pengarah MINDA-Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali berkata titah baginda yang memberi penekanan bahawa semua pihak harus berusaha merencana pelan jangka panjang bagi membawa negara kembali ke persada kejayaan dalam era pascapandemik adalah bertepatan pada masanya.
Ujarnya titah berkenaan sebenarnya merangkumi semua aspek yang diperlukan oleh negara ketika ini seandainya mahu melihat Malaysia bukan sahaja kembali pulih malah mampu mencipta kejayaan yang diimpikan .
Pemulihan dan kebangkitan negara yang diimpikan katanya tidak mungkin dapat menjadi realiti jika negara ini berpecah-belah dan gagal untuk mewujudkan landskap kehidupan yang stabil.
Sambil mengakui iklim ekonomi negara ketika ini berada pada tahap yang lebih baik berbanding ketika dilanda pandemik COVID-19, namun jelasnya itu sahaja tidak mencukupi.
Sebaliknya negara bukan sahaja memerlukan pemulihan ekonomi semata-mata tetapi perlu mencakupi reformasi strategi ekonomi yang lebih mampan dan lebih berdaya tahan.
Malah cabaran isu inflasi yang melanda dunia selain kenaikan harga barang yang berlaku ketika ini semakin jelas kian dirasai oleh kebanyakan rakyat berpendapatan rendah yang memerlukan rangka pelan ekonomi yang strategik bagi mengatasi masalah tersebut.
"Pertumbuhan ekonomi semata-mata tidak menjanjikan kehidupan yang lebih baik kepada rakyat. Sebaliknya pengagihan hasil sumber pendapatan dan kekayaan negara itu perlu ada strategi yang lebih peroduktif.
"Jika kita lihat ganjaran pekerja di Malaysia ketika ini masih lagi rendah berbanding negara-negara lain yang menjadi penanda aras yang baik," jelasnya ketika mengadakan sidang media untuk mengupas beberapa isu berkaitan titah Yang di-Pertuan Agong sempena sambutan keputeraan rasmi baginda baru-baru ini di sini.
Tambahnya, walaupun kadar pengangguran semasa di Malaysia ketika ini menunjukkan peratusan yang rendah iaitu pada paras empat peratus, namun kerajaan katanya perlu melihat setiap sudut cabaran yang dihadapi ketika ini.
Malah daripada hasil dapatan kajian yang dilakukan tahun lepas, lebih 41 peratus daripada 7.6 juta keluarga mengalami kejatuhan pendapatan.
Daripada jumlah tersebut, kemungkinan sebahagian daripada mereka yang telah terkesan akibat masalah ekonomi akibat COVID-19 tidak mampu bangkit untuk memulihkan kehidupan mereka.
Justeru katanya intipati yang cuba disampaikan oleh Yang di-Pertuan Agong dalam titah baginda itu perlu diteliti dan diserap dalam bentuk tindakan oleh semua pihak yang berkaitan.
"Kita adalah negara yang banyak bergantung kepada pasaran global. Bila-bila masa sahaja bila ekonomi global mengalami kejatuhan kita akan terkesan.Tak salah menjadi sebuah negara pengeksport yang besar, lebih 60 peratus jumlah eksport negara kita hanya memasuki 10 buah negara sahaja.
"Bermakna kita adalah di kalangan rentan, bererti jika apa-apa berlaku kepada negara-negara tersebut seperti yang kita tengok ketika ini berlaku berkemungkinan akan memberi kesan kepada kita," jelasnya lagi.
Kerajaan katanya telah banyak menampilkan pelbagai insentif untuk membantu rakyat namun ia dilihat memerlukan perancangan yang lebih teratur dan lebih kemas untuk melihat hasil keberkesanan yang lebih positif.
Beliau juga berkata isu keselamatan makanan yang cuba ditangani ketika ini diharapkan akan berterusan sehingga bukan sahaja mampu menyelesaikan masalah semasa tetapi lebih menyeluruh dan bersifat kekal.
"Saya risau tidak ada konsistensi malah sebelum ini sudah ada sebenarnya pelan-pelan induk yang telah dibina untuk hendak tanam jagung. Sudah sepuluh tahun, sudah mungkin ada.
"Tapi tiada siapa ambil kisah, bila kita berhadapan dengan krisis baru kita nak tanam jagung. Tanam jagung hari ini agak-agak bila boleh siap?" tanyanya.