Hayati peristiwa Israk Mikraj dalam mencari kebaikan - PM Muhyiddin
Nickyson Nyambar
Mac 10, 2021 23:20 MYT
Mac 10, 2021 23:20 MYT
KUALA LUMPUR : Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyeru umat Islam di seluruh negara untuk menghayati makna di sebalik peristiwa Israk dan Mikraj.
Ujarnya, meskipun diuji dalam tempoh pandemik COVID-19, setiap umat tidak harus berhenti dalam mencari pahala tetapi berhenti melakukan perkara yang bertentangan dengan agama.
"Kepada muslim dan muslimat, marilah bersama-sama menghayati makna dan ruh di sebalik peristiwa Israk dan Mikraj agar kita semua diberkati dan dirahmati Allah di dunia dan akhirat.
"Pada setiap 27 Rejab, umat Islam biasanya akan meraikan sambutan ini dengan pelbagai acara seperti ceramah, forum perdana, takzirah dan sebagainya.
"Situasi semasa COVID-19 menyaksikan sambutan ini terpaksa diraikan dalam suasana norma baharu dan bersederhana. Namun saya percaya peristiwa besar perjalanan penuh mukjizat Rasulullah SAW ini dapat dihayati sebaik-baiknya oleh seluruh umat," katanya menerusi satu posting yang dimuat naik dalam laman Facebook beliau.
Tambahnya, penghayatan peristiwa Israk dan Mikraj oleh setiap umat Islam mudah-mudahan dapat menjadikan akhlak manusia lebih murni dalam melakukan kebaikan serta meninggalkan kemungkaran.