HAWANA: Perhimpunan terbesar media Malaysia di Melaka bakal dirasmikan Perdana Menteri
Astro Awani
April 21, 2022 18:47 MYT
April 21, 2022 18:47 MYT
PUTRAJAYA: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengadakan pertemuan bersama wakil-wakil media bagi membincangkan berkenaan pelaksanaan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2022, yang dijadual diadakan di Melaka pada 29 Mei ini.
Perdana Menteri bersetuju untuk merasmikan perhimpunan terbesar wartawan Malaysia menerusi sambutan HAWANA itu, yang sebelum ini pertama kali diadakan pada 2018.
Wakil media diketuai Presiden Ikatan Setia Kawan Wartawan Malaysia dan Indonesia (ISWAMI) Datuk Mokhtar Hussain, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Bernama, Roslan Ariffin dan Penasihat ISWAMI, Datuk Zakaria Abdul Wahab.
Hadir sama Ketua Pengarang Utusan TV, Datuk Zulkefli Hamzah dan Ketua Pengarang Astro AWANI, Ashwad Ismail.
Sambutan HAWANA adalah bagi menghargai golongan wartawan di Malaysia, yang disambut pada setiap 29 Mei, bersempena penerbitan pertama akhbar Utusan Melayu pada 29 Mei 1939.
ISWAMI dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) akan menjadi penggerak utama pelaksanaan program itu, yang turut melibatkan agensi, pertubuhan dan pengamal media yang lain.
Bersempena HAWANA itu, ISWAMI Malaysia juga akan mengundang 17 pemimpin utama media dari Indonesia termasuk ISWAMI Indonesia, untuk turut hadir pada program berkenaan.
ISWAMI juga merancang untuk mengundang 20 editor muda dari pelbagai agensi media di Indonesia pada program lawatan muhibbah pada Jun 2022, dalam usaha mengukuhkan lagi kerjasama strategik media Malaysia dan Indonesia, selain mengukuhkan lagi hubungan dua hala kedua-dua negara.