HAWANA 2024 menutup tirai dengan kejayaan baharu
Bernama
Mei 28, 2024 11:10 MYT
Mei 28, 2024 11:10 MYT
KUCHING: Hari Wartawan Nasional (HAWANA) mengakhiri satu lagi bab penganjuran yang berjaya, apabila edisi keempatnya yang berlangsung selama tiga hari di bandar raya ini melabuhkan tirainya semalam.
Perhimpunan terbesar wartawan dalam negara yang dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itu turut mencatatkan beberapa pencapaian baru, termasuk menjadi HAWANA yang pertama dibawa merentasi Laut China Selatan setelah tiga sambutan sebelum ini berlangsung di Semenanjung Malaysia.
Acara anjuran Kementerian Komunikasi dengan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) sebagai agensi pelaksana ini turut memperlihatkan kejayaan kerjasama kukuh pelbagai agensi di peringkat Persekutuan dan Negeri, serta badan bukan kerajaan dan swasta, dan menjanjikan kemungkinan kerjasama-kerjasama lain di masa hadapan.
Kira-kira 1,000 peserta yang terdiri daripada pengamal media dari Malaysia, Indonesia, Singapura, Filipina, Brunei, Vietnam, Kemboja, Timor Leste, China, Korea Selatan, Qatar, Perancis dan Kuwait itu telah berkumpul di sini sejak Sabtu untuk HAWANA 2024.
Biarpun banyak cabaran telah dihadapi, namun Bernama, Radio Televisyen Malaysia, Jabatan Penerangan dan beberapa agensi persekutuan lain telah berjaya memupuk kerjasama erat dengan agensi negeri seperti Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Unit Protokol, Istiadat dan Pengurusan Acara Negeri (UPPAN), serta sektor swasta dan badan bukan kerajaan menerusi penganjuran HAWANA 2024 ini.
Buat julung kalinya juga HAWANA 2024 menampilkan Siri Jelajah HAWANA bersama Siswa dengan siri pertamanya merupakan anjuran bersama Bernama dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) di Pustaka Negeri Sarawak pada 25 Mei.
Seramai lebih 250 orang pelajar dari beberapa institusi pengajian tinggi tempatan mengambil bahagian dalam program ini yang diisi dengan sesi dialog Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil bersama Mahasiswa yang turut dihadiri Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol.
Kehangatan sambutan semakin terasa dengan perasmian Pameran HAWANA 2024 oleh Fahmi di Plaza Merdeka di sini, yang melibatkan 20 pempamer terdiri dari organisasi media, sektor swasta dan agensi kerajaan, serta berjaya menarik ribuan pengunjung.
UKAS, Persatuan Wartawan Bahagian Kuching (KDJA) dan Angkatan Zaman Mansang (AZAM) turut sama menjana kehangatan sambutan dengan menganjurkan Persidangan Media Sarawak (SMeC) 2024 yang berjaya menarik kira-kira 600 orang peserta.
Persidangan yang dirasmikan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg membicarakan 11 topik yang selari dengan temanya, Evolusi Media dalam Era Digital.
Ia diikuti acara jamuan malam bersama Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang boleh dianggap sebagai "Malam Media" terbesar Sarawak setakat ini dengan kehadiran ramai wartawan tersohor negara.
Satu lagi kejayaan yang dilakar dalam HAWANA 2024 apabila buat julung kalinya dua program bicara pagi; Apa Khabar Malaysia (AKM) terbitan BERNAMA dan Selamat Pagi Malaysia (SPM) terbitan RTM bergabung serta disiarkan secara langsung.
Hari terakhir penganjuran HAWANA 2024 semalam menjadi kemuncak sambutan dengan kehadiran Anwar yang membuat beberapa pengumuman gembira untuk pengamal media negara.
Ia termasuk peruntukan RM1 juta kepada Pusat Kecemerlangan Bernama bagi menganjurkan kursus dan latihan berkaitan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) dan peruntukan tambahan RM1 juta kepada Tabung Kasih@HAWANA tahun depan.
Ini ditambah lagi dengan berita gembira diumum Fahmi berhubung caruman Perkeso bagi semua petugas media sambilan selama setahun bermula 1 Julai yang akan ditampung oleh Kementerian Komunikasi, serta meneruskan Insentif Rebat RAHMAH Pengamal Media.
Hadir sama bagi memeriahkan acara kemuncak sambutan itu ialah Abang Johari, dua Timbalan Premier Sarawak iaitu Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak) Datuk Abdullah Saidol, Fahmi serta timbalannya, Teo Nie Ching, Pengerusi Bernama Datuk Seri Wong Chun Wai, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang agensi berita itu, Arul Rajoo Durar Raj.
Pada hari terakhir sambutan juga, wartawan malar segar Sarawak, James Ritchie dan KDJA telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah HAWANA 2024, sementara tujuh pengamal media lagi diumumkan sebagai penerima Anugerah Apresiasi Premier Sarawak.
Biarpun perencanaannya dilaksanakan dalam tempoh yang amat terhad, Fahmi mengakui penganjuran HAWANA 2024 yang bermula Sabtu lepas berjaya dilaksanakan dengan sangat baik hasil usaha dan dedikasi pasukan petugas terbabit, dan beliau tidak melupakan untuk mengucapkan syabas kepada Bernama atas kejayaan penganjurannya.
"Saya dapat melihat kesungguhan dan usaha pasukan petugas terbabit yang telah bertungkus lumus untuk memastikan kejayaan penganjuran acara ini," tambahnya.
-- BERNAMA