HAWANA 2024 iktiraf peranan pemain industri media - Teo
Bernama
Mei 28, 2024 13:15 MYT
Mei 28, 2024 13:15 MYT
KUALA LUMPUR: Sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024 yang berakhir semalam menjadi platform untuk meraikan sumbangan para pemain industri media yang berperanan sebagai pencetus pembentukan minda masyarakat berinformasi, kata Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching.
Beliau berkata kira-kira 1,000 pengamal media, wakil persatuan wartawan tempatan dan ASEAN berhimpun kali ini bagi tujuan berkenaan.
Sempena acara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menyampaikan sumbangan Tabung Kasih@HAWANA kepada wartawan See Hua Daily News Chia Kan Nyuk yang berkhidmat selama 31 tahun dan menghidap kanser sejak Julai 2023.
"Sehingga hari ini, seramai 100 orang pengamal media telah menerima bantuan melalui tabung ini," katanya dalam hantaran menerusi Facebook.
Anwar dalam ucapan perasmian ketika majlis kemuncak sambutan HAWANA 2024 di Kuching, Sarawak, semalam mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM1 juta kepada Tabung Kasih@HAWANA pada tahun depan.
Tabung Kasih@HAWANA diwujudkan sempena sambutan HAWANA 2023 bagi menyantuni wartawan dan petugas media yang masih berkhidmat atau sudah bersara, yang mengalami keuzuran atau memerlukan bantuan.
HAWANA 2024 yang mengangkat tema "Etika Teras Kewartawanan Mapan" berlangsung selama tiga hari sejak Sabtu lepas dianjurkan Kementerian Komunikasi dengan kerjasama Kerajaan Negeri Sarawak dan Bernama sebagai agensi pelaksana.
Penganjuran yang memasuki tahun keempat melibatkan wakil persatuan, kelab media tempatan dan wartawan dari 12 negara iaitu Singapura, Indonesia, Filipina, Brunei, Vietnam, Kemboja, Timor Leste, China, Korea Selatan, Qatar, Perancis dan Kuwait yang berhimpun di bandar raya ini sejak Sabtu, mengikuti pelbagai program disusun bagi meraikan sambutan julung kalinya diadakan Bumi Kenyalang.
Tarikh 29 Mei diwartakan sebagai Hari Wartawan Nasional sempena penerbitan edisi pertama akhbar Utusan Melayu pada 29 Mei 1939, bertujuan meraikan sumbangan pengamal media.
-- BERNAMA