HAWANA 2024 bakal ketengahkan peranan wartawan majukan pemikiran rakyat
Bernama
Februari 23, 2024 21:20 MYT
Februari 23, 2024 21:20 MYT
KUCHING: Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024 bakal mengetengahkan peranan wartawan sebagai wira yang memperjuangkan kebebasan penyebaran maklumat untuk meningkatkan pengetahuan masyarakat dan pembangunan negara.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS)), Datuk Abdullah Saidol berkata sebagai tuan rumah HAWANA 2024, Sarawak akan menjadikannya sambutan itu sebagai platform mengupas cabaran dan memantapkan keupayaan wartawan dalam menjalankan peranan mereka.
"Kita menghargai keputusan kerajaan Persekutuan yang telah memilih Sarawak sebagai tuan rumah untuk HAWANA yang keempat," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Sekretariat Bernama dan UKAS di sini pada Khamis.
Turut hadir Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) yang menjalankan tugas dan tanggungjawab Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bernama Nur-ul Afida Kamaludin, Timbalan Ketua Pengarang (Perkhidmatan Berita) Bernama Arul Rajoo Durar Raj, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak (Operasi) Datuk Hii Chang Kee dan Pengarah UKAS Samuel Simon.
Abdullah berkata mesyuarat itu telah memuktamadkan beberapa perkara seperti aktiviti sambutan yang bermula pada 25 Mei sehingga ke acara kemuncak pada 27 Mei yang bakal dihadiri lebih 500 wartawan dari dalam dan luar negeri.
Beliau berkata antara aktiviti utama dirancang ialah mini konvensyen anjuran UKAS yang akan membincangkan topik antaranya mengenai rangka undang-undang yang mengawal selia dan menguat kuasa aktiviti media di semua platform terutama di media sosial.
Pengisian lain katanya ialah pameran yang akan memaparkan sejarah awal perjalanan dan perkembangan aktiviti kewartawanan negara khususnya di Sarawak serta program lawatan ke tempat-tempat menarik di sekitar Kuching seperti Muzium Budaya Borneo, Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dan Kampung Budaya Sarawak.
Sementara itu, Nur-ul Afida berkata HAWANA 2024 juga akan mengangkat dan mengiktiraf sumbangan wartawan veteran menerusi anugerah khas selain menyampaikan bantuan kepada bekas wartawan di bawah Tabung Kasih@HAWANA.
"Kita juga merancang program kecil seperti treasure hunt bagi wartawan-wartawan yang terlibat dalam sambutan ini," katanya.
-- BERNAMA