HAWANA 2023 sasar kehadiran lebih 1,000 pengamal media
Bernama
Februari 21, 2023 05:45 MYT
Februari 21, 2023 05:45 MYT
KUALA LUMPUR: Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023 yang akan diadakan di Ipoh, Perak pada 27 hingga 29 Mei ini menyasarkan kehadiran lebih 1,000 pengamal media dari seluruh negara.
Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) Mastura Ahmad Mustafa berkata penganjuran kali ini juga dijangka turut disertai pengamal media dari beberapa negara ASEAN.
"Pada tahun ini kita pastikan lebih meriah kerana persediaan awal telah dibuat dan berbeza dengan tahun lepas kita hanya ada majlis kemuncak.
"Namun kali ini kita akan adakan selama tiga hari. Dua hari pertama adalah karnival dan kita akan pastikan penglibatan seramai mungkin pengamal media. Ini juga adalah sebagai platform untuk merapatkan hubungan pengamal media dengan masyarakat tempatan," katanya ketika ditemui Bernama di sini pada Selasa.
Terdahulu, Mastura bersama pihak pengurusan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) melakukan kunjungan hormat ke atas Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad bagi membincangkan mengenai penganjuran HAWANA 2023.
Turut hadir Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Antarabangsa Bernama (menanggung tugas Ketua Pengarang) Jamaluddin Muhammad, Ketua Penyiaran TV dan Radio Bernama D. Arul Rajoo dan Ketua Bernama Radio Azlan Idris.
Mastura berkata sambutan HAWANA 2023 merupakan peluang kepada pengamal media untuk bertemu dan beramah mesra selain bertukar-tukar aktiviti serta mengadakan perbincangan bersama masyarakat tempatan.
"Kita berharap supaya apa yang dirancangkan berjaya dan saya amat berharap semua pengamal media mengambil kesempatan kerana ini adalah satu-satunya (hari) di mana kerajaan ingin menunjukkan penghargaan kepada pengamal media," katanya.
Sementara itu, Saarani berkata pihaknya mengalukan-alukan sambutan HAWANA 2023 di Perak dan menyifatkan ia sebagai satu peluang untuk mempromosikan negeri itu.
"Pada tahun ini juga bersempena Tahun Melawat Ipoh, manakala tahun depan Tahun Melawat Perak. Ini adalah satu peluang dengan kedatangan ramai pengamal media tempatan serta ASEAN," katanya.
-- BERNAMA