HAWANA 2023: Pandangan kritis, idea bernas media bantu tambah baik pentadbiran kerajaan

Abd Razak Mohd Ali
Mei 28, 2023 17:35 MYT
Saarani (dua, kanan) menyaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) merasmikan sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023 di Hotel Casuarina hari ini. - Foto Bernama
IPOH: Media memainkan peranan penting sebagai medium untuk melontarkan pandangan kritis dan idea bernas bagi penambahbaikan dalam urusan pentadbiran kerajaan.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, walaupun zaman berubah, peranan media tidak pernah luput sebagai pencetus pemikiran rakyat.
Menurutnya, media juga turut berperanan untuk membina negara, khususnya melalui prinsip semak dan imbang.
"Dalam erti kata lain, media merupakan medium untuk melontarkan pandangan kritis dan idea bernas supaya penambahbaikan dapat diterapkan dalam urusan pentadbiran.
"Saya selalu percaya, kerajaan yang baik adalah kerajaan yang sentiasa mendengar, terbuka kepada pandangan dan teguran yang membina," katanya ketika berucap pada Majlis Kemuncak Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2023 di di sini, hari ini.
Menurut Saarani, seperti bidang-bidang lain, dunia kewartawanan juga berdepan perubahan yang begitu drastik.
Beliau berkata, media sosial menjadikan berita begitu pantas tersebar, bahkan 'wartawan segera’ muncul seperti cendawan selepas hujan sehingga satu tahap, media konvensional seperti surat khabar dilihat akan menemui jalan mati.
"Syarikat-syarikat media seluruh dunia berlumba-lumba beralih strategi ke platform digital.
“Namun, dalam berdepan peralihan drastik ini, jualan-jualan akhbar kita masih bertahan sehingga hari ini dan ini menarik untuk dikupas dan dibincangkan," ujarnya.
Beliau berpendapat, kelangsungan institusi media bukan sahaja bergantung kepada pantasnya ia dapat disebarkan tetapi sejauh mana ia membawa nilai kebenaran iaitu antara prinsip penting dalam profesion kewartawanan.
"Ini sangat-sangat penting kerana kepalsuan boleh membawa kepada kemusnahan. Suatu perkataan boleh mengubah kasih sayang kepada kebencian.
“Suatu perkataan boleh mengubah keamanan kepada kekacauan dan banyak peristiwa yang mengabsahkan analogi-analogi ini,” tambahnya.
Sebab itulah, kata Saarani, beliau yakin, kekuatan media, sama ada konvensional atau media baru, bukan sahaja terletak kepada variasi kandungan, tetapi juga nilai ketelusan dan integriti yang dibawa.
"Selagi semangat dan identiti itu dapat dipertahankan, maka profesion kewartawanan akan terus teguh dan dihormati," jelasnya.
#peranan media #HAWANA 2023 #Saarani Mohamad #pandangan kritis
;