HAWANA 2023: Media tradisional harus bekerjasama dengan pengiklan untuk cipta lebih banyak peluang

Bernama
Mei 28, 2023 19:21 MYT
Penasihat Kanan Malaysian Advertisers Association Mohammad Kadri Taib bercakap ketika slot Kelangsungan Media Tradisional Dalam Era Digital pada sesi Forum Media bertajuk Masa Depan Media sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023. - BERNAMA
IPOH: Media tradisional harus bekerjasama rapat dengan pengiklan untuk mencipta dan menginovasi lebih banyak peluang untuk meningkatkan kesedaran jenama sebagai salah satu alat pemasaran dalam era digital.
Penasihat Kanan Persatuan Pengiklan Malaysia (MAA), Mohammad Kadri Taib berkata ia masih relevan untuk kedua-dua pihak bekerjasama kerana media tradisional adalah platform yang dikawal selia dan disahkan.
"Ahli kami sangat mengambil berat mengenai kandungan mereka dan dimana ia diletakkan.
"Menerusi media tradisional, mereka boleh melihat ke mana ia pergi, sama ada ia sesuai, meletakkan pada halaman yang baik dan sebagainya," katanya sebagai ahli panel pada Forum Media Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023 bertajuk 'Survival of Traditional Media Dalam Era Digital' di sini, hari ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Mindshare dan Msix, S. Sheila berkata media tradisional di negara ini sama ada telah berubah menjadi digital atau beroperasi secara hibrid.
Bagi media atau syarikat teknologi dan pengiklan untuk terus hidup dalam era digital, beliau berkata mereka perlu mengikut trend semasa yang popular ketika ini iaitu media sosial.
"Pergerakan media sosial adalah besar dan kita tidak boleh memandang rendah terhadapnya. Tetapi saya bersetuju bahawa kita perlu mengadakan garis panduan tertentu untuk media sosial terutamanya berkaitan 'hate speech' (ucapan kebencian).
Beliau berkata sedekad lalu, bahagian perbelanjaan iklan (adex) pada media digital hanya 10 peratus berbanding sekarang, bahagiaan adex telah meningkat kepada 58 peratus.
Sebaliknya, bahagian adex akhbar ialah 48 peratus pada tahun 2013 tetapi hari ini ia telah turun kepada hanya tujuh peratus.
Menyuarakan pendapat yang sama, Pegawai Transformasi Operasi dan Teknologi di Pejabat GMD Media Prima, Rev Media Group, Prima Nicholas Sagau berkata apabila menjalani transformasi digital, media tradisional mesti mempunyai keupayaan untuk menggerakkan pasukannya untuk bekerjasama dengan mereka dalam pasukan digital.
Selain itu, media tradisional perlu tangkas dan mempunyai disiplin untuk mengalami perubahan budaya.
"Kandungan adalah sangat penting. Perbincangan berterusan mengenai sudut berita perlu diadakan dan pada masa sama memerhatikan bagaimana proses dan penyampaian boleh diperbaiki serta berkesan mengikut pada setiap masa.
"Kami menyatukan semua data dan kandungan dan enam tahun kemudian, kami sebenarnya boleh melihat apa yang orang baca di Berita Harian (contohnya), sama ada berita/cerita itu menjadi "trending" (popular) atau tidak dan jika tidak, bagaimana kami boleh menyampaikan berita untuk disampaikan dengan lebih berkesan," katanya.
Dalam pada itu, seorang ahli panel lain, Ketua Pengarang The Jakarta Post, M Taufiqurrahman berkata memandangkan media tradisional tidak berpeluang untuk berada di 'padang yang sama' (kedudukan sama) seperti media digital, syarikat media kecil dan tradisional di Indonesia telah mencadangkan kepada kerajaannya untuk "memaksa" syarikat teknologi gergasi untuk berunding dengan mereka.
"Saya percaya dalam satu atau dua bulan lagi cadangan kami boleh diluluskan, di mana platform teknologi besar ini akan diperlukan untuk mengadakan perjanjian perniagaan dengan kami.
"Saya fikir ini mungkin cara untuk mempunyai masa depan yang mampan, satu-satunya cara untuk kita mempunyai padang yang sama rata pada asasnya ialah meminta pengawal selia campur tangan, jika tidak, ia akan menjadi persaingan yang sengit," kata Taufiqurrahman.
Cadangan oleh penggiat media Indonesia dibuat berikutan undang-undang yang telah diluluskan oleh kerajaan Australia pada Disember 2021, di mana platform digital seperti Meta dan Google dikehendaki membayar saluran media tempatan dan penerbit untuk memautkan kandungan mereka pada suapan berita atau dalam hasil carian.
-- BERNAMA
#media tradisional #pengiklanan #HAWANA 2023 #Mohammad Kadri Taib
;