HAWANA 2022: Wujud badan induk, angkat suara wartawan - ISWAMI

Shuhada Abdul Kadir
Mei 29, 2022 11:03 MYT
Mokhtar berucap pada Forum Media Nasional sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2022 di Melaka hari ini. -- fotoBERNAMA
BANDARAYA MELAKA: Dalam berdepan dunia kewartawanan yang semakin mencabar, kumpulan wartawan muda disaran menjadi penggerak dalam mewujudkan sebuah badan induk.
Presiden Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia dan Indonesia (ISWAMI) Datuk Mokhtar Hussain berkata, langkah itu bagi memastikan suara pengamal media, khusus dalam menyampaikan idea serta cadangan bernas, dapat didengari sehingga ke peringkat tertinggi.
“Sudah tiba masanya kita perlukan satu badan induk yang boleh mengangkat suara pengamal media dan usaha itu elok digerakkan oleh kumpulan wartawan muda dalam berdepan dunia kewartawan yang mencabar ketika ini.
“Jadi, kita mesti melihat perlu atau tidak untuk adakan satu persatuan induk kerana banyak persatuan wartawan di Malaysia, tetapi tidak ada yang menjadi ‘payung’,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan aluannya pada Forum Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2022 di Hotel Hatten, di sini, hari ini.
BACA: Pengamal media Malaysia dirai menerusi HAWANA 2022 hari ini
BACA: HAWANA 2022: Agong zahir ucapan Selamat Hari Wartawan Nasional
BACA: HAWANA 2022: Kerajaan Melaka rai pengamal media
Mengulas lanjut katanya, HAWANA 2022 menjadi titik mula sebagai platform memantapkan masa depan dunia kewartawanan dalam negara kerana bidang ini jelas mempunyai kelebihan tertentu dalam mengangkat sesebuah suara.
“Walaupun kali ini kita tidak dapat berhimpun dalam skala yang besar, tetapi HAWANA 2022 ini kita berjaya adakan di luar Kuala Lumpur dan tentunya akan ditambah baik bagi tahun akan datang supaya pengamal media seluruh negara dapat berkumpul.
“Tetapi, yang paling utama adalah, kita boleh fikirkan wartawan boleh bersatu dalam satu kumpulan yang lebih mantap dan bersuara melalui satu platform yang sama, kerana media ada kelebihan dan kekuatan kita sendiri,” tambahnya.
Hari ini, HAWANA 2022 diteruskan dengan Forum Media Nasional yang diadakan sebagai platform bagi ketua pengarang dan tokoh media membincangkan hala tuju dan masa depan media, terutamanya apabila berhadapan perubahan teknologi dan persekitaran yang semakin mencabar.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijadual merasmikan Majlis Kemuncak HAWANA 2022 di sini, kira-kira jam 2.30 petang ini, dijangka dihadiri lebih 500 pengamal media tempatan dan dari beberapa negara ASEAN.
#HAWANA 2022 #Iswami #persatuan induk #Hari Wartawan Nasional
;