HAWANA 2022: Wartawan muda perlu kesabaran, komitmen tinggi - Mohammad Mentek

Bernama
Mei 28, 2022 21:04 MYT
Mohammad berkata, golongan wartawan muda harus memastikan setiap berita yang dilaporkan adalah sahih dan sumbernya tidak diragui. - Gambar/ Bernama
KUALA LUMPUR: Dunia kewartawanan yang penuh cabaran ketika ini memerlukan golongan wartawan muda yang mempunyai kesabaran dan komitmen tinggi dalam melaksanakan tugas mereka, kata Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Mohammad Mentek.
Beliau berkata sebagai pelapis dalam industri itu, golongan muda perlu sentiasa bersedia dengan sebarang kemungkinan memandangkan skop tugasan wartawan sukar diduga.
"Sebagai contoh, ketika pandemik COVID-19, para wartawan perlu pergi ke lapangan dengan ada risiko jangkitan malah ada antara mereka turut dijangkiti. Selain itu, banjir besar yang berlaku hujung tahun lepas, mereka turun padang untuk kumpul maklumat dan sampaikannya kepada rakyat.
"Perkara sebegini memerlukan komitmen dan pengorbanan yang tinggi malah harus ada kesabaran serta keikhlasan," katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau persiapan Majlis Kemuncak Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2022 di Hotel Hatten, di sini hari ini.
Mohammad berkata selain itu, golongan wartawan muda harus memastikan setiap berita yang dilaporkan adalah sahih dan sumbernya tidak diragui.
Sementara itu mengenai persiapan HAWANA 2022, beliau berkata semuanya berjalan lancar namun beberapa aspek perlu diperkemaskan sebelum acara itu berlangsung esok.
HAWANA yang disambut setiap tahun pada 29 Mei merupakan pengiktirafan dan penghargaan kerajaan atas sumbangan pengamal media dalam membantu membangunkan negara dan mengukuhkan perpaduan masyarakat.
-- BERNAMA
#Hawana #wartawan muda #Mohammad Mentek
;