HAWANA 2022: "Kerajaan tidak pernah halang media siar sebarang laporan berita" - PM
Rahimah Abdullah
Mei 29, 2022 16:52 MYT
Mei 29, 2022 16:52 MYT
BANDA HILIR : Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengakui bahawa profesion kewartawanan harus kekal bebas dan berfungsi tanpa gangguan dan campur tangan pihak lain.
Katanya, ia bagi menjamin kebebasan bersuara di negara ini.
"Kerajaan tidak pernah menghalang media daripada menyiarkan sebarang laporan berita yang adakala
dijadikan panduan pihak berwajib untuk mengambil tindakan susulan seperti bertindak menyalurkan
bantuan untuk kesejahteraan keluarga Malaysia.
"Kerajaan sentiasa mendengar dan prihatin terhadap laporan yang dibangkitkan oleh media. Semua
kementerian dan agensi kerajaan sentiasa memberi kerjasama kepada media dalam membantu
memudahkan penyaluran maklumat yang seimbang, tepat, sahih dan memuaskan hati seluruh Keluarga
Malaysia," katanya semasa berucap merasmikan Majlis Kemuncak Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2022 di sini pada Ahad.
Perdana Menteri juga memberi jaminan bahawa tiada apa yang hendak disembunyikan oleh kerajaan dalam penyaluran maklumat demi kepentingan Keluarga Malaysia dan pembangunan negara.
"Menjadi harapan kerajaan agar golongan wartawan terus menyiarkan laporan yang adil dan proaktif dalam
mengeluarkan cadangan bagi penyelesaian kepada sesuatu isu yang dibangkitkan.
"Saya yakin langkah ‘semak dan imbang’ terhadap setiap informasi yang diterima sebelum disebarkan tetap
menjadi amalan media bagi mengelak berlaku sebarang salah lapor yang boleh menjejaskan juga integriti dan kepercayaan ramai terhadap media,"tambahnya.
Beliau dalam pada itu berharap organisasi media dan wartawan dapat membantu menangkis dan menolak laporan tidak benar serta menyedarkan ‘wartawan segera’ supaya tidak lagi meneruskan perlakuan sedemikian.
Justeru, wartawan disaran agar bersatu dan memainkan peranan ke arah penyaluran maklumat yang benar dan sahih sebagai cara menangani isu berita palsu yang berleluasa.
"Bagi mengangkat kewartawanan sebagai profesion yang mulia dan dihormati, bakal wartawan perlu mendapat secukupnya latihan formal dalam membentuk kepakaran, tanggungjawab dan integriti.
"Wartawan yang dilatih akan mempunyai integriti, mendukung etika serta berobjektif dalam menghasilkan laporan mereka untuk masyarakat.
"Justeru, tiba masa golongan wartawan perlu bersatu di bawah naungan sebuah persatuan khusus yang
mewakili media cetak, media elektronik dan media Internet di Malaysia bagi memastikan etika kewartawanan dipelihara, profesion kewartawanan diperkasa dan kebajikan wartawan dijamin. Bolehlah persatuan ini dinamakan Persatuan Wartawan Malaysia," tambah Perdana Menteri.