HAWANA 2022: Kerajaan Melaka rai pengamal media

Shuhada Abdul Kadir
Mei 28, 2022 22:41 MYT
Bertemakan 'Suara Jelata, Aspirasi Negara' petugas media dirai pada majlis makan malam anjuran kerajaan negeri, malam ini. - Gambar/ Astro AWANI
ALOR GAJAH: Sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2022 bagi mengiktiraf sumbangan petugas media dalam membantu membangun dan mengukuhkan perpaduan negara, membuka tirai hari ini.
Bertemakan 'Suara Jelata, Aspirasi Negara' petugas media dirai pada majlis makan malam anjuran kerajaan negeri yang dihadiri Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam serta Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa di A’Famosa Resort di sini.
Hadir sama pada majlis itu, Ketua Pengarang Astro AWANI, Ashwad Ismail; Presiden Ketua Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (ISWAMI) Malaysia, Datuk Mokhtar Hussain dan 15 delegasi media Indonesia yang tiba di tanah air kira-kira pukul 7 malam tadi.
Delegasi tersebut diketuai Ketua Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (ISWAMI) Indonesia, Asro Kamal Rokan, yang juga bekas Pemimpin Umum agensi berita Antara.
Turut serta Ketua Umum Persatuan Wartawan Indonesia Atal S. Depari, Penasihat Iswami Indonesia Ilham Bintang, Setiausaha Agung Iswami Indonesia N. Syamsuddin Ch. Haesy.
Esok, Forum Media Nasional diadakan sebagai platform bagi ketua pengarang dan tokoh media membincangkan hala tuju dan masa depan media, terutamanya apabila berhadapan dengan perubahan teknologi dan persekitaran yang semakin mencabar.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kemudian akan merasmikan Majlis Kemuncak HAWANA 2022 di Hotel Hatten, kira-kira jam 2.30 petang yang dijangka dihadiri lebih 500 pengamal media tempatan serta beberapa negara ASEAN.
#HAWANA 2022 #Kerajaan negeri Melaka #Iswami #Ashwad Ismail
;