HAWANA 2022: Kementerian tidak akan pandang sebelah mata resolusi wartawan - Annuar

Firdaus Azil
Mei 29, 2022 14:26 MYT
Annuar sewaktu menyampaikan ucapan pada Forum Media Nasional sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2022 hari ini. - Foto BERNAMA
MELAKA: Hari wartawan Nasional atau HAWANA 2022 diharap dapat mewujudkan satu resolusi bagi memantapkan soal pengurusan dunia kewartawanan, kata Menteri Komunikasi Dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.
Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, kementeriannya sedia mendengar pandangan penggiat media, dan akan memudahcarakan usaha untuk melaksanakan resolusi berkenaan.
Ketika berucap menutup Forum Media Nasional di Melaka pada Ahad, Annuar berkata, Kementerian tidak akan menutup mata terhadap rumusan yang dicapai dalam HAWANA 2022.
"Setiap tahun apabila rakan-rakan wartawan bersidang, akan ada rumusan. Saya harap KSU (Datuk Seri Mohammad Mentek) dan kementerian, tidak pandang sebelah mata terhadap apa yang dirumuskan.
“Saya harap apa (resolusi) yang dihasilkan itu dibuat susulan, perincian, supaya ianya dapat dilaksanakan. Tak ada maknanya bagi pengiktirafan dari segi tarikh, hari, perayaan, tapi konteks, kandungan, keluh-kesah, penemuan, tak diberikan perhatian. Jadi saya harap saya dapat lakukan itu," katanya lagi.
Selepas dua tahun tidak diadakan kerana penularan COVID-19, HAWANA 2022 disambut di Melaka yang bakal menyaksikan Deklarasi Melaka 2022 dibacakan.
Deklarasi itu mengandungi pandangan dan hasrat wartawan serta aspirasi mereka dalam melaksanakan tugasan serta peranan bersama-sama dalam membangun negara.
Selain itu acara kemuncak adalah penyampaian Anugerah HAWANA 2022 kepada wartawan profesional/individu/organisasi yang memberi sumbangan besar, bukan sahaja dalam bidang kewartawanan tetapi dalam membentuk minda rakyat menerusi karya dihasilkan.
Berucap lanjut, Annuar berkata, beliau memberi komitmen agar HAWANA dapat dijadikan sebagai agenda nasional tahunan.
"Pertama, tetapkan tarikh 29 Mei adalah Hari HAWANA nasional, mesti dirayakan, mesti disambut tiap-tiap tahun, dan sambutan itu mesti berstatus nasional.
“Negara pula, kerajaan pula, kementerian, mesti memberikan pengiktirafan kepada status itu. Dan saya harap, sesiapa juga jadi Perdana Menteri, masukkan dalam jadual tahunan dia, 29 Mei, Perdana Menteri atau Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, mesti terlibat dengan hari HAWANA pada tiap-tiap tahun, kerana negara mesti beri pengiktirafan.
“Dan sekarang Kabinet telah bersetuju 29 Mei itu itu dimeterikan, disahihkan, disahkan sebagai Hari Wartawan Nasional,” katanya lagi.
#HAWANA 2022 #Annuar Musa #resolusi wartawan #Kementerian Komunikasi dan Multimedia
;