HAWANA 2022: Kaji etika kewartawanan ikut kesesuaian peredaran semasa

Bernama
Mei 25, 2022 05:00 MYT
Prinsip Etika Kewartawanan Malaysia perlu dikaji semula atau ditambah baik seiring peredaran semasa. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Prinsip Etika Kewartawanan Malaysia perlu dikaji semula atau ditambah baik seiring peredaran semasa, kata pengamal media dan komunikasi Dr G Manimaran.
Beliau berkata ini kerana etika kerjaya yang diwujudkan empat dekad lalu itu perlu sesuai dengan amalan kewartawanan mengikut kesesuaian keadaan semasa dari aspek sosial, politik serta global.
"Sekarang ada citizen journalism (wartawan rakyat), media bebas dan platform media sosial, bagi saya sudah sampai masanya perkara ini (etika kewartawanan) dilihat, tambahan akan sambut Hari Wartawan Nasional (HAWANA).
"Jadi perkara ini agak realistik kerana kita kena mulakan satu asas yang baharu," katanya ketika dihubungi menerusi program Malaysia Petang Ini terbitan Bernama TV pada Rabu.
Manimaran yang mempunyai pengalaman kira-kira 22 tahun dalam bidang kewartawanan berkata golongan wartawan kini berdepan pelbagai cabaran terutama dalam aspek skop kerja mereka.
"Dahulu wartawan hanya tulis (berita) untuk surat khabar atau radio atau majalah tetapi kini seorang wartawan perlu menulis bahan beritanya untuk pelbagai platform termasuk dalam penyiaran," katanya.
Mengulas tema HAWANA 2022 iaitu 'Suara Jelata, Aspirasi Negara', beliau berkata ia menyatakan peranan sebenar media sebagai mengangkat suara rakyat dengan membangkitkan setiap isu yang perlu diambil tindakan pihak berkuasa.
HAWANA 2022 yang berlangsung di Melaka pada Ahad ini, dianjurkan bagi mengiktiraf peranan golongan wartawan dan pengamal media tempatan, selain platform kepada golongan itu untuk berkongsi pendapat dan meningkatkan pembangunan dan pertumbuhan industri media di Malaysia
Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Ikatan Setia Kawan Wartawan Malaysia Indonesia (ISWAMI) menjadi penggerak utama penganjuran HAWANA 2022, dengan disokong Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) serta melibatkan organisasi, persatuan dan pengamal media lain.
-- BERNAMA
#kewartawanan #media sosial #Prinsip Etika Kewartawanan #Kementerian Komunikasi dan Multimedia
;