Hawana 2022 berupaya tingkatkan dunia kewartawanan - Hussamuddin

Bernama
Mei 24, 2022 22:45 MYT
Hussamuddin berkata wartawan perlu mempunyai nilai tanggungjawab yang tinggi, untuk memastikan berita atau artikel yang ditulis telah melalui proses kajian mengenai implikasi kepada orang ramai. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Selain mengiktiraf peranan wartawan, sambutan Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2022 pada Ahad ini dilihat berupaya menjadikan dunia kewartawanan lebih profesional dan berintegriti.
Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Karangkraf Datuk Hussamuddin Yaacub berkata wartawan perlu mempunyai nilai tanggungjawab yang tinggi, untuk memastikan berita atau artikel yang ditulis telah melalui proses kajian mengenai implikasi kepada orang ramai, sebelum ia dihidangkan kepada masyarakat.
"Paling penting kita kena membawa balik kredibiliti dan 'respect' orang kepada dunia kewartawanan.
"Kita harap dengan adanya Hawana, kita kembali untuk memberi nilai yang sepatutnya ada pada wartawan," katanya ketika menjadi tetamu program Malaysia Petang Ini bagi membicarakan topik 'Hawana 2022: Platform Perkukuh Ekosistem Kewartawanan', terbitan Bernama TV hari ini.
Hawana 2022 yang bakal berlangsung pada Ahad ini di Melaka, dianjurkan bagi mengiktiraf peranan golongan wartawan dan pengamal media Malaysia, selain platform kepada pengamal media untuk berkongsi pendapat dan meningkatkan pembangunan dan pertumbuhan industri media di Malaysia.
Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Ikatan Setia Kawan Wartawan Malaysia Indonesia (ISWAMI) akan menjadi penggerak utama penganjuran Hawana 2022, dengan disokong Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) dan turut melibatkan organisasi, persatuan dan pengamal media lain.
Selain itu, Hussamuddin berkata sejak kebelakangan ini, perubahan era digital menyaksikan kebanjiran berita palsu.
Mengulas lanjut, beliau berkata berita palsu jarang berlaku pada beberapa dekad lalu kerana mengikut ekosistem kewartawanan, seorang wartawan akan mendapat latihan akademik formal di universiti dan diikuti dengan latihan industri, panduan serta pemantauan daripada organisasi media ketika bekerja.
"Kalau dahulu, peluang kewartawanan hanya ada pada media berorganisasi seperti Bernama, Media Prima, Karangkraf, Radio Televisyen Malaysia (RTM), tetapi apabila datangnya era digital, semua orang boleh menjadi wartawan, penerbit, malah mempunyai media sendiri. Itu kejutan besar kepada dunia kewartawanan," katanya.
Hussamuddin turut merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan kerana bersetuju untuk mengiktiraf kerjaya wartawan tempatan, dan mengajak semua wartawan profesional di negara ini 'memegang pena' bagi kebaikan semua.
-- BERNAMA
#Hawana #Hari Wartawan Nasional #Hussamuddin Yaacub #dunia kewartawanan
;