"Hati saya sudah berpunya, tidak berminat cari no 2" - Tengku Zafrul

Astro Awani
Disember 14, 2021 19:14 MYT
Tengku Zafrul mengingatkan orang ramai agar mengambil sikap berhati-hati dengan tindakan segelintir pihak yang mendakwa sebagai Menteri Kewangan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengingatkan orang ramai agar mengambil sikap berhati-hati dengan tindakan segelintir pihak yang mendakwa sebagai ‘Menteri Kewangan’
Menurut Menteri Kewangan itu, selain berhati-hati, orang ramai juga dinasihatkan melakukan semakan dengan pihak berkuasa sekiranya menyedari ada perkara yang mencurigakan.
“Saya minta semua di sana berhati-hati dengan pelbagai scam di luar sana. Semak dengan pihak berkuasa kalau ada perkara yang mencurigakan. Jangan mudah percaya dengan janji manis orang yang tidak dikenali.⠀
“Kalau ada yang selepas ini menyamar sebagai Menteri Kewangan, menjanjikan cinta, tolonglah tolak mentah-mentah. Hati saya dah berpunya dan saya tak berminat nak cari no 2. Pesanan ini juga khas untuk isteri saya,” tulis Tengku Zafrul dalam hantaran di Facebook beliau hari ini.
BACA: Hasrat jadi isteri 'menteri' tidak kesampaian, wanita rugi 'modal' RM4,200
Hantaran Tengku Zafrul itu sebagai reaksi terhadap laporan berita mengenai seorang guru tadika di Pahang yang kerugian RM4,200 akibat terpedaya dengan panggilan palsu.
Wanita kitu sanggup mengeluarkan 'modal' RM4,200 demi memenuhi hasratnya menjadi isteri seorang 'menteri' yang dikenali melalui laman sosial Facebook, awal bulan ini.
Mangsa berusia 59 tahun yang bekerja sebagai guru tadika itu juga dijanjikan hadiah wang tunai RM1 juta dan sebuah kereta mewah jenis Rolls-Royce sekiranya bersetuju untuk menjadi isteri lelaki itu.
#Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz #Hati saya sudah berpunya #Menteri Kewangan #janji palsu
;