Hati-hati tawaran badal haji - Mufti Pulau Pinang

Bernama
Mei 22, 2023 00:52 MYT
Wan Salim berkata seorang Muslim hanya dibenarkan untuk mengerjakan badal haji untuk seorang individu sahaja dan tidak boleh melakukannya untuk lebih daripada seorang. - Gambar fail/Sinar Harian
GEORGE TOWN: Umat Islam dinasihatkan agar berhati-hati supaya tidak menjadi mangsa individu atau pihak tidak bertanggungjawab yang mengambil kesempatan dalam urusan pelaksanaan badal haji pada musim haji ini.
Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata seorang Muslim hanya dibenarkan untuk mengerjakan badal haji untuk seorang individu sahaja dan tidak boleh melakukannya untuk lebih daripada seorang.
"Seorang Muslim yang telah menunaikan rukun haji bagi dirinya sendiri adalah diharuskan sama ada dengan upah atau sukarela, untuk mengerjakan fardu haji bagi seorang Muslim yang lain dan mengerjakan ibadah haji bagi pihak orang lain, adalah dikenali sebagai badal haji.
"Seseorang Muslim pula hanya dibenarkan untuk mengerjakan badal haji untuk seorang sahaja, tidak boleh melakukannya untuk lebih daripada seorang, jadi saya menasihatkan kepada sesiapa yang berniat hendak membuat badal haji untuk ibu bapa atau ahli keluarga yang uzur atau yang telah meninggal dunia supaya berhati-hati.
''Ia supaya mereka tidak menjadi mangsa individu atau pihak tidak bertanggungjawab yang mengambil kesempatan dalam bab badal haji ini," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Wan Salim berkata melakukan badal haji bagi menggantikan seorang Muslim yang lain adalah diharuskan dalam syariat dan badal haji adalah harus sekiranya seseorang itu terhalang untuk mengerjakan haji sendiri dengan halangan yang kekal, seperti usia yang lanjut iaitu tua, sakit yang tiada harapan sembuh atau telah meninggal dunia.
''Adapun halangan-halangan yang bersifat sementara seperti sakit yang diharapkan kesembuhannya, tiada keamanan dalam perjalanan atau seumpamanya, maka tidak sah haji yang diwakilkan kepada orang lain,'' katanya.
Katanya begitu juga seorang Muslim yang fakir atau miskin, tidak sah mewakilkan orang lain melaksanakan rukun tersebut bagi dirinya.
''Ini kerana kewajipan haji dikira gugur daripada seorang yang tidak berkemampuan di sudut kewangan,'' katanya.
Beliau berkata demikian mengulas laporan akhbar Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) menasihati rakyat Malaysia agar berhati-hati dengan tawaran badal (upah) haji yang tumbuh bak cendawan.
Presidennya Datuk Mohd Khalid Harun dilaporkan berkata terdapat lambakan iklan badal haji di media sosial yang menawarkan kos serendah RM1,500 hingga RM3,500 seorang.
Pihak Kementerian Haji Arab Saudi menetapkan empat kategori pakej haji yang disediakan untuk penduduk tempatan tahun ini dengan kos antara SAR 3,984 (RM4,819) hingga SAR 11,841 (RM14,323).
-- BERNAMA
#media sosial #pelancongan #Badal Haji #rukun islam
;