Hati-hati keluar kenyataan, ambil tindakan berkaitan sensitiviti agama dan kaum - Aaron
Bernama
Mac 30, 2024 07:40 MYT
Mac 30, 2024 07:40 MYT
KUALA LUMPUR: Semua pihak diingatkan supaya berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang kenyataan atau mengambil sebarang tindakan yang boleh menyentuh sensitiviti agama dan kaum.
Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang dalam hantaran di platform X pada Sabtu berkata Rukun Negara adalah prinsip asas yang sepatutnya menjadi panduan bagi pembinaan serta pemeliharaan keharmonian di Malaysia.
"Cita-cita dan prinsip-prinsip tersebut perlu dihayati dan dipatuhi oleh setiap lapisan masyarakat untuk mencapai kesejahteraan bersama dan membangunkan negara yang harmoni.
"Justeru, saya berharap agar semua pihak dapat menyebar luas prinsip asas integrasi nasional iaitu faham, hormat dan terima yang merupakan prinsip asas dalam memupuk keharmonian dan kepelbagaian dalam masyarakat Malaysia," katanya.
-- BERNAMA