Hati-hati bayar zakat!

Sinar Harian
Jun 8, 2018 09:59 MYT
ZAKARIA: Aktiviti ini dijangka akan berlaku pada tiga hari terakhir Ramadan apabila ramai yang pulang ke kampung.
Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) akan terus memantau aktiviti amil palsu yang menerima zakat fitrah daripada orang ramai di negeri ini.
Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Zakaria Othman berkata walaupun pihaknya masih tidak menerima sebarang aduan berkaitan amil palsu atau pengutip zakat tidak berdaftar namun pemantauan akan terus dilakukan.
Menurutnya, aktiviti ini dijangka akan berlaku pada tiga hari terakhir Ramadan apabila ramai yang pulang ke kampung untuk menyambut hari raya.
“Tahun ini kita masih belum terima apa-apa aduan. Namun kita akan memperhebatkan pemantauan pada Selasa, Rabu dan Khamis minggu hadapan kerana kemungkinan akan berlaku perkara ini.
“Ini kerana pada hari berkenaan banyak perantau balik kampung, dan kebiasaannya mereka akan membayar zakat di kampung dan tidak mengenali amil yang dilantik.
“Saya harap orang ramai lebih berhati-hati dan membuat bayaran zakat kepada wakil yang dilantik,” katanya pada Sinar Harian.
Beliau berkata sebanyak tujuh kes tangkapan amil palsu dilakukan pada tahun lalu dan telah diberikan amaran keras agar tidak mengulangi semula aktiviti tersebut.
“Kita tak pasti ke mana wang yang dikutip amil palsu itu akan salurkan, mungkin untuk pertubuhan mereka, ini tidak boleh berlaku, kerana ia sepatutnya perlu dapatkan kebenaran.
“Kita juga telah lantik 3,200 amil di kawasan-kawasan tumpuan seperti pasar raya besar dan masjid di setiap daerah bagi memudahkan orang ramai membayar zakat,” katanya.
Tambahnya, LZNK menyasarkan kutipan sebanyak RM12 juta zakat fitrah pada tahun ini berbanding tahun lalu hanya berjaya mengutip RM9.4 juta.
“Kita yakin dengan memperkenalkan tiga nilai bayaran zakat yang bergantung kepada jenis beras yang di makan iaitu RM7, RM14 dan RM21 dan setakat ini ramai yang bayar pada kadar RM14,” katanya.
#aduan #LZNK #palsu #Ramadan #Zakaria Othman #zakat fitrah
;