'Hassan Nasrallah kata perang akan berlaku bagi bebas Baitul Maqdis, Masjid al-Aqsa' - Abdul Hadi
Sinar Harian
Oktober 3, 2024 18:16 MYT
Oktober 3, 2024 18:16 MYT
SHAH ALAM: Setiausaha Agung Hizbullah, Almarhum Hassan Nasrallah pernah memberitahu bahawa peperangan akan berlaku bagi membebaskan Baitul Maqdis dan Masjid al-Aqsa.
Perkara tersebut didedahkan oleh Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menerusi laman Facebook miliknya pada Khamis.
Menurut Abdul Hadi, beliau berkesempatan berjumpa dengan Almarhum Hassan Nasrallah sebanyak dua kali.
"Kali pertama, saya diajak menghadiri Muktamar Muassasah al-Quds Antarabangsa di Beirut menemani Almarhum Dr Yusuf al-Qaradawi, Dr Muhsin al-‘Awaji dan seorang rakan dari Algeria.
"Selepas beberapa tahun, saya berjumpa beliau buat kali kedua apabila saya dibawa bertemu empat mata di tempat persembunyiannya. Beliau menegaskan kepada saya bahawa peperangan akan berlaku bagi membebaskan Baitul Maqdis dan Masjid al-Aqsa," katanya.
Sebelum ini, Almarhum Hassan Nasrallah meninggal dunia pada Jumaat lalu, ketika jet Israel menyerang kubu kuat Hizbullah di selatan ibu negara Lubnan, Nasrallah dianggap sebagai orang paling berkuasa di negara itu.
Selama lebih tiga dekad, beliau mengetuai gerakan yang disokong oleh Iran yang juga musuh ketat Israel.
Tambah Abdul Hadi, dalam perjumpaan pertama dengan Almarhum Hassan Nasrallah ditimbulkan masalah takfir terhadap Syiah.
"Dr Yusuf al-Qaradawi menyatakan bahawa beliau juga ditakfirkan oleh puak pelampau.
"Maka, al-Syahid Hassan Nasrallah berkata marilah kita perangi Israel dahulu, kemudiannya datanglah bunuh kami yang bermazhab Syiah," ujarnya.
Abdul Hadi menjelaskan, Almarhum Hassan Nasrallah dan rakan-rakannya juga pernah ikut terlibat dalam Perang Bosnia untuk mempertahankan Sunni, bukannya Syiah.
"Saya mendoakan diterima syahidnya yang ikhlas dengan kematian paling mulia di sisi ALLAH SWT. Akan tetapi, ada pula pendapat yang berpihak kepada bala tentera Ahzab.
"Untuk pengetahuan, saya tidak terpengaruh dengan ulama’ mazhab Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan juga Komanwel," katanya lagi. -- Sinar Harian