Hassan Karim luah kecewa menerusi sajak 'Pelaburan Genoside'
Sinar Harian
Jun 3, 2024 16:45 MYT
Jun 3, 2024 16:45 MYT
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menghasilkan sajak bertajuk ‘Pelaburan Genoside’ menerusi hantaran terkini dalam Facebooknya. - Foto FB Hassan Karim
SHAH ALAM: Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menghasilkan sajak bertajuk ‘Pelaburan Genoside’ menerusi hantaran terkini dalam Facebooknya.
Sajak itu dipercayai berkait dengan perjanjian kerajaan menerusi Khazanah Nasional dengan Global Infrastructure Partners (GIP) yang melibatkan penjualan sebahagian equiti syarikat Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB).
Menerusi sajak tersebut, beliau melahirkan kekecewaan dan kekesalan terhadap langkah kerajaan yang disifatkan seperti sudah hilang sifat kemanusiaan apabila bekerjasama dengan GIP iaitu berkait rapat dengan syarikat pelaburan BlackRock.
BlackRock menurut Hassan, mempunyai hubungan rapat dengan Israel serta memiliki pegangan dalam syarikat syarikat yang membekalkan senjata kepada tentera Israel.
Berikut ialah sajak penuh beliau:
Berbilion ringgit pelaburan mencurah masuk ke tanahairku
Kecil tapak tangan
Berpuluh puluh lapangan terbang terbentang
Ditadahkan
untuk dolar Amerika
Tokoh-tokoh besar
Tutup mata
Tutup hati nuraninya sekali
Mereka
berkeliling dunia lalu menjemput pelaburan datang ke sini
Di negaraku
Kami berwirid Malaysia Madani
Tetapi kompeni algojoh yang bermandian darah rakyat Gaza
melabur ke sini
Satu tangan kita bersolidariti dengan rakyat Palestin
Satu tangan lagi kita menadatangani perjanjian dengan korporat besar global
Yang membikin bom dan roket
Mengaut untung dari genoside
Oh Malaysiaku sayang
Kita negara yang sudah hilang kemanusiaan
Pemimpin-pemimpin Kita hanya mengira ringgit dan dolar pelaburan.
*Artikel disiarkan di Sinar Harian