Hasrat tercapai, 'wartawan cilik' tak sabar temu bual PM petang ini
Abd Hadi Che Awang
Februari 6, 2022 18:08 MYT
Februari 6, 2022 18:08 MYT
SUNGAI PETANI: "Apakah makanan dan minuman kegemaran Datuk Seri, serta bagaimana Datuk Seri menjalani rutin kehidupan seharian sebagai seorang Perdana Menteri?".
Itu antara soalan yang akan dikemukakan 'wartawan cilik' yang tular dengan laporan penemuan ular sawa, Muhammad Haziq Mohd Asyraf, 12, kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, petang ini.
Difahamkan, Perdana Menteri mengambil kesempatan meluangkan masa bertemu Muhammad Haziq di sebuah hotel di Alor Setar, hari ini, sempena lawatan kerja ke Kedah serta perasmian Kedah Rubber City (KRC), esok.
Mengulas mengenai pertemuan itu, Muhammad Haziq berkata, dia berbesar hari kerana diberi peluang untuk bersua muka dengan pemimpin nombor satu negara itu.
"Saya akan bertemu Perdana Menteri di sebuah hotel di Alor Setar dan saya amat berbesar hati kerana akan jumpa dengan Perdana Menteri Malaysia.
"Saya akan tanya beliau macam ini - Assalamualaikum Datuk Seri, saya amat berbesar hati kerana dapat berjumpa Datuk Seri pada hari ini... selepas itu saya mahu tanya apa minuman kegemaran beliau, apa makanan kegemaran beliau dan rutin harian," katanya.
Muhammad Haziq berkata demikian ketika ditemui media selepas program merealisasikan hajatnya yang ingin menaiki jentera bomba di Balai Bomba dan Penyelamat Amanjaya, Sungai Petani pada Ahad.
Sebelum ini, media melaporkan Muhammad Haziq berhasrat untuk menemu ramah Perdana Menteri jika diberi kesempatan.
Kanak-kanak itu berkata adalah menjadi impiannya untuk menemu bual pemimpin nombor satu negara itu secara bersemuka yang sebelum ini hanya ditonton di kaca televisyen.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kedah, Sayani Saidon menyatakan program itu diadakan bagi memenuhi impian kanak-kanak berkenaan yang mahu menaiki jentera pasukan serta melakukan aktiviti melibatkan kebombaan.
"Kami adakan program ini bagi memberi kesempatan adik Haziq, merasai dan menjiwai kerjaya sebagai seorang pegawai bomba, dia (diberi peluang) naik jentera bomba, kemudian bersama dengan kru bomba turun daripada jentera dan membuat (proses) pemadaman.
"(Program ini) memberikan dia satu pengalaman bagaimana kerjaya sebagai ahli bomba yang buat kerja pemadaman dan adik Haziq tengok gerak kerja (selain tahu mengenai) peralatan yang ada dalam jentera," katanya.