Hasrat pembangkang batalkan perjanjian dengan China risiko ekonomi negara
Bernama
Mac 24, 2018 23:55 MYT
Mac 24, 2018 23:55 MYT
Peneroka Felda di negara ini bakal berhadapan dengan masalah untuk memasarkan hasil minyak sawit sekaligus meninggalkan kesan kepada ekonomi negara jika pembangkang menang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) nanti.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata ini kerana mereka (pembangkang) menyatakan akan membatalkan segala kontrak perjanjian dengan negara China sekiranya parti itu menang pada PRU itu.
"Kerajaan mengamalkan dasar hubungan baik dengan kuasa-kuasa ekonomi besar dunia termasuk China dan India serta negara-negara lain kerana mereka akan membeli minyak kelapa sawit yang dikeluarkan oleh peneroka Felda di negara ini.
"Cuba bayangkan kalau mereka batalkan perjanjian itu, hubungan antara dua negara akan menjadi keruh... kalau keruh minyak sawit ini tidak laku dan tidak boleh jual, yang susah bukan mereka (pembangkang), tetapi peneroka Felda sendiri.
"Jangan jadi macam Selangor, pemimpin mereka dapat undi, tetapi rakyat dapat baldi kerana kegagalan kerajaannya untuk menguruskan soal air," kata Najib ketika berucap di Majlis Ramah Mesra di Parlimen Paya Besar di Felda Lepar Hilir 1 di sini malam ini.
Turut hadir di majlis itu Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob dan Pemangku Ketua UMNO Bahagian Paya Besar Datuk Md Sohaimi Mohamed Shah.
Mengikut rekod, selain India dan Kesatuan Eropah, China merupakan antara negara terbesar yang membeli minyak sawit dari Malaysia.
Sehubungan itu beliau meminta supaya peneroka Felda yang menjadi penyokong kuat kerajaan BN selama ini membuat pilihan yang tepat pada PRU14.
Menurutnya hasil hubungan diplomatik yang erat kerajaan dengan negara-negara termasuk Arab Saudi dan China ini telah membuka banyak ruang ekonomi dan faedah untuk rakyat termasuk menerusi (eksport) hasil pertanian dan (peruntukan) tambahan kuota haji.
Dalam pada itu, Najib turut menzahirkan komitmen untuk terus menjalankan agenda pembangunan di kawasan luar bandar.
Beliau berkata, “Sesetengah tempat lain kehidupan mereka lebih mewah dari sini, ada tempat itu mereka mendapat segala kemudahan tetapi tidak sekuat mana menyokong kerajaan BN, tetapi tempat seperti ini (Paya Besar) tetap kuat menyokong kita.
“Sebab itu kerajaan tidak akan lupakan agenda pembangunan di luar bandar supaya mereka seiring dengan pembangunan di bandar, namun agenda di bandar tetap perlu diteruskan kerana kita perlu untuk mengembangkan ekonomi.
“Apabila ekonomi berkembang, hasil negara akan bertambah dan kita dapat mengagihkannya ke luar bandar,” katanya.
-- BERNAMA
#Arab Saudi
#China
#ekonomi
#Felda
#hubungan diplomatik
#India
#Kesatuan Eropah
#minyak
#Najib Razak
#pembangkang
#peneroka
#pilihan raya umum
#PRU
#PRU14
#sawit