Hasrat murni pemancing cuba selamat penumpang bertukar tragedi
Astro Awani
Februari 8, 2019 06:30 MYT
Februari 8, 2019 06:30 MYT
Seorang lelaki dikhuatiri lemas ketika cuba menyelamatkan empat sekeluarga di dalam sebuah kenderaan yang terjunam ke dalam muara Sungai Terengganu di Pulau Warisan, di sini, kira-kira pukul 9.40 malam tadi.
Mangsa, Abdul Bari Asyraf Mohd, 31 tahun, yang berasal dari Kampung Panji, Kuala Terengganu sedang memancing bersama seorang rakannya sebelum sebuah Mitsubishi Storm yang diparkir di kawasan berhampiran tiba-tiba menggelongsor dan terjunam ke dalam sungai.
Ketika kejadian, empat individu termasuk dua kanak-kanak perempuan, berada di dalam kenderaan pacuan empat roda tersebut.
Ketua Cawangan Operasi dan Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Mazimi Mohamad berkata, insiden dipercayai berlaku apabila kereta yang dipandu seorang wanita berusia 38 tahun telah "tersalah masuk gear".
"Setelah kita dapatkan maklumat daripada semua yang terlibat, kita dapati, kereta itu tersalah masuk gear. Maknanya, apabila dia tekan pedal minyak, terus masuk ke dalam sungai, secara mengundur.
"Dia hendak parkir di tepi sungai. Apabila ada halangan di hadapan, dia masuk gear 'reverse' untuk pusingkan kereta, tetapi tersalah tekan, terjunam ke dalam sungai.
"Ketika itu, ada orang awam sekitar sini. Melihat situasi tersebut, lima orang awam terus pergi selamatkan, dan salah seorang mangsa dikhuatiri lemas," katanya.
Mazimi berkata, kesemua mangsa yang berada di dalam kenderaan itu berjaya diselamatkan dan dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk rawatan lanjut.
Menurutnya, pasukan penyelamat berjaya mengesan kenderaan tersebut kira-kira jam 1 pagi pada kedudukan 20 meter dari tebing sungai.
#Abdul Bari Asyraf Mohd
#bomba
#Kampung Panji
#Kuala Terengganu
#lemas
#mangsa
#Mazimi Mohamad
#Memancing
#menggelongsor
#Mitsubishi Storm
#pacuan empat roda
#Pulau Warisan
#salah masuk gear
#Sungai
#Sungai Terengganu
#terengganu
#terjunam