Hasrat meninggal dunia di Tanah Suci termakbul
Bernama
Jun 27, 2024 06:00 MYT
Jun 27, 2024 06:00 MYT
KOTA BHARU: Warga emas, Abd Wahab Ramli, 60, yang meninggal dunia di Tanah Suci pada Selasa lepas kerana menghidap kanser periampullary tahap empat pernah menyuarakan hasrat untuk meninggal dunia di Mekah.
Isteri Allahyarham, Noraini Mat Sari, 60, berkata hasrat tersebut disuarakan suaminya kepada jiran-jiran yang berkunjung sebelum mereka berangkat ke Tanah Suci pada 10 Mei lepas bagi mengerjakan haji.
"Suami saya disahkan menghidap kanser pada Feb lepas tetapi berada dalam keadaan sihat ketika berangkat ke Tanah Suci sekali gus membolehkannya untuk menunaikan ibadah haji.
"Bagaimanapun, lima hari sebelum wukuf keadaan kesihatan suami saya merosot dan dia dirawat di Pusat Rawatan Lembaga Tabung Haji (TH) Syisyah di Mekah," katanya kepada pemberita di Kampung Keseng, Jalan Kuala Besar di sini semalam.
Abd Wahab meninggal dunia pada 4.38 petang (waktu Arab Saudi) iaitu dua hari sebelum dijadualkan berangkat pulang ke tanah air hari ini selepas 49 hari berada di negara itu.
Menurut Noraini suaminya hanya mampu melakukan Safari Wukuf kerana tahap kesihatan yang tidak mengizinkan ekoran paras oksigen berada di bawah 50 peratus.
"Saya meminta bantuan daripada petugas TH untuk meletakkan saya sebilik bersama suami bagi menguruskan keperluan serta memantau tahap kesihatannya," kata ibu kepada empat cahaya mata itu.
Menurutnya sewaktu di Mekah dia juga tidak berhenti berdoa dan memohon kepada Allah SWT agar menghilangkan sel kanser yang dihadapi suaminya.
"Namun, saya reda dengan ketentuan Ilahi (pemergian arwah suami) kerana tidak sanggup melihat arwah menanggung kesakitan. Saya juga bersyukur kerana jenazah suami telah disolatkan di hadapan jutaan jemaah haji dari seluruh dunia di Masjidil Haram.
"Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua petugas TH kerana membantu menguruskan proses pengebumian arwah suami di Tanah Perkuburan Sharaya di Mekah," katanya.
Terdahulu, Pemangku Pengarah TH Kelantan Mohamad Rosli Mustapai ketika menyampaikan sumbangan khairat kematian berkata kematian Abd Wahab merupakan yang kedua melibatkan jemaah dari Kelantan selepas seorang jemaah wanita berusia 54 dari Kota Bharu meninggal dunia pada 19 Jun lepas.
Beliau berkata terdapat 2,400 jemaah dari Kelantan pada tahun ini yang melibatkan 13 penerbangan dan lima penerbangan telah selamat sampai ke tanah air, manakala penerbangan terakhir dijangka pada 2 Julai ini.
-- BERNAMA