Hasrat memancing tiga beradik bertukar tragedi

Radhi Muslim
Julai 18, 2020 10:13 MYT
Jenazah Fadlizan dihantar ke Hospital Duches of Kent, Sandakan. -APMM
Hasrat tiga beradik memancing bersama berakhir dengan tragedi apabila seorang daripada mereka lemas dalam satu kejadian di Pantai Dandulit, dekat sini, pada Jumaat.
Mangsa Fadlizan Idris, 20, bersama abangnya yang berusia 24 tahun dan adik lelaki 13 tahun keluar memancing di pantai berkenaan kira-kira jam 9 pagi.
Difahamkan, tiga beradik berkenaan cuba berenang dari kawasan pantai ke satu kawasan berbatu sebelum dihanyutkan ombak.
Menyedari kejadian yang menimpa mangsa, beberapa nelayan yang berada di lokasi bertindak menyelamatkan mereka.
Dua daripada mereka berjaya diselamatkan, namun seorang lagi gagal ditemukan.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Sandakan, Kapten Maritim Zainudin Mohd Zuki berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.11 pagi lalu mengaktifkan Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR).
“Pada jam 3.22 petang, mayat mangsa ditemukan lemas dan dihantar ke Hospital Duches of Kent, Sandakan untuk tindakan lanjut.
“Kami juga ingin menasihatkan orang ramai agar sentiasa menitikberatkan hal keselamatan ketika menjalankan aktiviti di laut, terutamanya dengan memakai jaket keselamatan,” katanya dalam satu kenyataan media, pada Sabtu.
#Fadlizan Idris #Kapten Maritim Zainudin Mohd Zuki #Maritim Malaysia #Memancing #Pantai Dandulit #Zon Sandakan
;