Hasrat dua beradik untuk bernikah dengan pasangan masing-masing dalam majlis yang sama akhirnya menjadi kenyataan hari ini selepas sebulan tertangguh ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Nurul Allia Ezzati Md Lutfi, 26, dengan pasangan Mohd Azran Elyas, 28, dan adiknya Nurul Ainna Md Lutfi, 23, dengan pasangannya Fairuzfaiz Faiq Fairuzi, 23, dinikahkan oleh Pegawai Agama Daerah Kota Setar Syeikh Ahmad Faisol Omar bersama tujuh lagi pasangan lain di Pejabat Agama Daerah Kota Setar, di sini.

Nurul Allia Ezzati yang ditemui pemberita selepas majlis itu berkata majlis akad nikahnya dan Nurul Ainna sepatutnya dilangsungkan serentak pada 3 April lepas.

"Bila tidak dibenarkan untuk langsungkan akad nikah, kami ambil keputusan untuk tangguhkan sampai tamat PKP tapi minggu lepas Pejabat Agama Daerah Kota Setar menghubungi kami dan memberi tarikh yang telah ditetapkan untuk dinikahkan.

"Selepas berbincang dengan keluarga, akhirnya semua pihak bersetuju untuk melangsungkan akad nikah hari ini. Kami gembira kerana akhirnya dapat juga dinikahkan walaupun lewat sebulan," katanya.



Walaupun gembira kerana telah disatukan dengan pasangan masing-masing, Nurul Allia Ezzati berkata dia dan adiknya tetap terkilan kerana tidak dapat meraikan kegembiraan bersama ahli keluarga yang lain hari ini berikutan hanya kehadiran kedua-dua pasangan dan wali sahaja yang dibenarkan hadir.

Sementara itu, pasangan lain yang turut dinikahkan hari ini iaitu Muhammad Faizi Rozali, 24, dan Intan Shafinas Yaccob, 24, turut gembira dapat meneruskan akad nikah walaupun tanpa sebarang persiapan rapi.

"Buat masa ini, persiapan lain ditunda dahulu sehingga habis PKP dan kami hanya buat yang wajib sahaja iaitu akad nikah," kata Muhammad Faizi.

Dalam pada itu, Syeikh Ahmad Faisol berkata sebanyak 118 pasangan dibenarkan untuk melangsungkan akad nikah dalam tempoh PKP di daerah Kota Setar dengan 38 pasangan bersetuju untuk meneruskan akad nikah, manakala 77 tidak bersetuju dan tiga lagi tidak memberi maklum balas.

-- BERNAMA